10 KERUSI UMUM DAN 35 KERUSI PUSAT PENGAJIAN MENJADI REBUTAN DALAM PEMILIHAN MPP USM
PULAU PINANG, 29 November 2018 – Sebanyak 10 kerusi Konstituensi Umum dan 35 kerusi Konstituensi Pusat Pengajian menjadi rebutan dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) Sidang Akademik 2018/2019 yang berlangsung hari ini.
Para pelajar USM mula keluar untuk membuat pengundian pada jam 8.30 pagi tadi sehingga jam 5.00 petang ini di sembilan pusat pemilihan termasuk tiga di Kampus Induk dan masing-masing satu di Kampus Kejuruteraan, Kampus Kesihatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan di tiga kampus pesisir iaitu Politeknik Port Dickson, IPS USM@KL serta USM-KLE India.
Sehingga jam 3.00 petang, seramai 3,666 pelajar dari 10,720 pelajar yang layak mengundi telah keluar mengundi di Kampus Induk, manakala di Kampus Kejuruteraan sebanyak 90.50 peratus pelajar mengundi untuk 1 kerusi Konstituensi Umum.
Pada tahun ini, buat pertama kalinya proses pemilihan MPP USM dijalankan sepenuhnya oleh pelajar yang diketua oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajar, Omar Azizi Abdul Latif.
Proses penjumlahan dan pengumuman keputusan pemilihan akan diadakan pada hari ini juga bermula jam 6.00 petang di semua kampus.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1261