JADIKAN DEBAT BUDAYA DALAM KALANGAN MAHASISWA
USM, PULAU PINANG, 20 November 2018 – Debat bukan hanya dijadikan satu kegiatan kokurikulum atau aktiviti sampingan semata-mata tetapi sepatutnya menjadi satu budaya kepada mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Abdullah berkata, debat sepatutnya menjadi satu budaya dalam kalangan mahasiswa kerana ia mampu menyediakan platform untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan pada zaman kini.
Menurutnya, debat penting kerana pendebat bukan berdebat dengan emosi sahaja, malahan berdebat dengan fakta dan data yang sahih.
“Dengan ini, pelajar universiti wajar membudayakan diri untuk berhujah dengan bukti fakta dan data, serta dengan penuh tertib dan adab sebagai tanda hormat-menghormati dalam mengemukakan idea atau mencari penyelesaian.
“Debat juga penting kepada pelajar IPT dalam membina keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi di samping persiapan menempuh alam pekerjaan,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Kejohanan Debat Mandarin Dunia Peringkat Asia Tenggara Ke-9 di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua USM, Tan Shi Ai; Pengarah Projek, Eng Shu Yee; dan Pengerusi Unit Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM, Sim Yee Gen.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan ialah cabutan undi untuk pasukan-pasukan yang bertanding dari segi pembahagian kumpulan dan tajuk-tajuk perbahasan.
Pertandingan Kejohanan Debat Mandarin Dunia Peringkat Asia Tenggara Ke-9 anjuran Unit Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM (Kampus Induk) akan diadakan pada 1 hingga 2 Disember 2018 di sini.
USM sebagai tuan rumah menghantar dua pasukan untuk bertanding iaitu sebuah pasukan dari Kampus Induk dan sebuah lagi pasukan mewakili Kampus Kejuruteraan.
Sebanyak 120 peserta dari 15 pasukan dari IPT awam dan swasta di rantau Asia Tenggara akan menyertai pertandingan ini, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Asia Pacific University, Southern University College, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pasukan yang muncul johan akan mewakili rantau Asia Tenggara untuk menyertai Pertandingan Kejohanan Debat Mandarin Dunia Peringkat Antarabangsa Ke-9 yang akan diadakan di Nanjing, China pada tahun hadapan.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1153