USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KICGS 2018: TUJUH NEGARA BERKUMPUL BINCANG ISU PEMERKASAAN WANITA

QK4A6979

PULAU PINANG, 27 November 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi tumpuan tujuh buah negara berkumpul membincangkan isu pemerkasaan wanita dalam semua aspek termasuk dalam sektor pembangunan negara sempena Persidangan Antarabangsa Pengajian Gender (KICGS 2018).

80 orang peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar siswazah dari Filipina, India, Thailand, Indonesia, Afrika, Bangladesh termasuk Malaysia berkongsi idea dan hasil penyelidikan berkenaan isu wanita dan gender bagi usaha memperkasakan penglibatan wanita dalam konteks ekonomi, pendidikan, teknologi dan sosial.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, peranan wanita masa kini amat penting dan menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan teknologi setiap negara, malah mampu mengubah pelbagai perspektif yang jelas mempengaruhi dunia baru yang kita lalui pada masa ini dan masa hadapan.

“Cabaran demi cabaran dihadapi kini dalam konteks melestarikan kestabilan kepentingan dunia dan sesebuah negara, dan jelas wanita banyak membantu melakukan perubahan kepada pembangunan masyarakat termasuk perubahan berimpak tinggi kepada negara,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Gender (KICGS 2018) kali keempat bertempat di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM.

Tambahnya lagi, beliau turut berharap persidangan yang mengumpulkan pembentang-pembentang kertas kerja yang arif dan berpengalaman bukan sahaja membincangkan konteks akademik malah mencari penyelesaian demi menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan yang sedang dan bakal dihadapi.

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM, Profesor Dr. Noraida Endut; Pengerusi KICGS 2018, Dr. Lai Wan Teng dan Pembentang Ucaptama dari Universitas Indonesia, Profesor Emeritus Dr. Saparinah Sadli.

Selain itu, Farhan mengharapkan persidangan kali ini mampu menghasilkan idea dan penyelesaian baharu serta perubahan positif kepada permasalahan yang dihadapi oleh wanita dan isu berkaitan gender serantau.

Sementara itu, Noraida berkata persidangan ini yang masuk kali keempat penganjurannya sejak tahun 2012, mampu menyediakan platform kepada ahli cendekiawan dan siswazah dari pelbagai bidang turut sama menyalurkan idea dan pengalaman melalui pembentangan projek penyelidikan berkaitan isu kewanitaan dan kemasyarakatan.

“Saya mengharapkan peserta yang terlibat mampu membantu persidangan ini dengan menyalurkan peluang-peluang bernilai untuk pembangunan wanita dan gender dari aspek profesional dan jaringan sosial secara keseluruhan,” kata Noraida.

Sebanyak 41 kertas kerja bakal dibentangkan sepanjang persidangan dua hari berlangsung bermula 27 November sehingga 28 November 2018 melibatkan peserta-peserta dari semua negara terlibat pada persidangan kali ini.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 2059

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024