USM, INVEST PENANG TEROKA PELUANG KERJASAMA
PULAU PINANG, 27 November 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan perbincangan dua hala bersama Invest Penang dalam meneroka peluang memacu pembangunan di negeri Pulau Pinang khususnya yang berkait rapat dengan pendidikan tinggi.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, USM mempunyai keupayaan dan dikenali sebagai antara universiti terbaik di dunia dan ia disifatkan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan bakat.
Perbincangan yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian itu antaranya berkisar kepada beberapa potensi kolaborasi khususnya dalam mempromosikan Penang Future Foundation (PFF), pembangunan kerjaya dalam kalangan graduan USM, kerjasama penyelidikan dan sebagainya.
Pihak Invest Penang turut menyuarakan hasrat untuk mengetengahkan bakat-bakat yang ada di USM bagi memenuhi pelbagai peluang peningkatan kerjaya dalam syarikat-syarikat gergasi dunia melalui rangkaian yang ada pada agensi berkenaan.
USM turut mempunyai pelbagai kepakaran khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains dan sebagainya yang dapat dikongsikan bersama rakan usahasama strategiknya, selain turut mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa dengan lebih 90 negara melalui Asia-Pacific University-Community Network (APUCEN).
Kekuatan kedua-dua pihak dilihat dapat memberi manfaat dua hala khususnya dalam memperkasa pembangunan ekonomi di negeri yang dikenali sebagai Pearl of the Orient itu.
Delegasi USM turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; TNC Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan ketua-ketua jabatan.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1108