RENJER KITAR SEMULA PPK GALAK PENGGUNAAN PENYEDUT MINUMAN ALTERNATIF
PULAU PINANG, 26 November 2018 – Bersempena dengan penganjuran Kempen Sisa Sifar: Gorange yang bakal berlangsung pada 28-30 November 2018, renjer kitar semula Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif untuk menjual penyedut minuman (straw) alternatif besi kepada warga PPK dan USM.
Penjualan straw besi oleh renjer kitar semula yang dinamakan sebagai Goranger ini berjalan selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 November 2018 di Balai Media, PPK.
Matlamat utama penjualan straw besi ini adalah untuk menggalakkan warga kampus USM khususnya warga PPK dalam mengurangkan penggunaan straw plastik konvensional yang boleh membawa kesan negatif ke atas alam sekitar.
Di samping itu, inisiatif penjualan straw besi ini juga merupakan tanda sokongan terhadap usaha kerajaan dalam melarang penggunaan straw plastik konvensional pada tahun 2020 di samping menyediakan alternatif khususnya kepada warga PPK untuk bersama-sama membawa straw besi sendiri yang boleh digunakan secara berulang kali berbanding menggunakan straw plastik konvensional dalam kehidupan harian.
Salah seorang dari renjer, Jasmine Regina Fong Chui Hsia berkata inisiatif renjer untuk menjual straw besi awalnya adalah disebabkan oleh kesukaran yang dihadapi oleh pelajar khususnya untuk membeli straw besi secara terus yang lazimnya hanya boleh dibeli menerusi acara-acara tertentu mahupun pembelian secara dalam talian.
Justeru katanya, beliau amat menyokong penjualan straw besi yang dilakukan tanpa mengambil sebarang keuntungan ini yang dilihat dapat memudahkan pelajar dan staf PPK dan USM untuk mengurangkan pergantungan ke atas straw plastik, selain bertindak ke arah kehidupan yang lebih lestari.
Bagi seorang lagi pembeli, Nur ‘Ainin Sofiya Yahya pula berkata, penjualan straw besi ini disifatkan sebagai langkah yang baik dan beliau amat teruja untuk menggunakannya memandangkan beliau sendiri sudah lama mencari pengganti bagi straw plastik.
“Inisiatif penjualan straw besi ini memudahkan saya mempraktikkan gaya hidup lestari dan membantu mengurangkan pencemaran bahan plastik terbuang demi kelangsungan alam sekitar,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut tentang Kempen Sisa Sifar: Gorange – Pusat Pengajian Komunikasi, sila lawati laman sesawang Facebook, https://www.facebook.com/GorangeUSM/ atau hubungi Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh di talian 04-6535154 atau menerusi emel beliau iaitu
- Created on .
- Hits: 1483