USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIMBALAN NAIB CANSELOR USM DIPILIH TOKOH MAULIDUR RASUL PULAU PINANG

DSC 1637

BALIK PULAU, 20 November 2018 - Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1440H/2018M yang diadakan semalam.

Program yang diadakan di Politeknik Balik Pulau ini telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, yang hadir bersama isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff.

Setelah menerima anugerah yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Abdul Rahman berkata beliau bersyukur kepada kerajaan negeri di atas pengiktirafan kerja keras beliau selama ini.

"Saya merasa amat berbesar hati dengan anugerah ini dan melihatnya sebagai galakan untuk meneruskan kerja bersama dengan komuniti, terutamanya kumpulan B40 (berpendapatan rendah)," katanya ketika ditemubual.

Beliau juga berkata ia adalah satu pengiktirafan kepada USM di atas segala usaha ke arah kemajuan dan pembangunan masyarakat, yang merupakan sebahagian daripada misinya sebagai sebuah universiti APEX.

Abdul Rahman, yang mengetuai Bahagian Penyelidikan dan Inovasi di USM, adalah Felo di Akademi Sains Malaysia serta aktif dalam pelbagai aktiviti penyelidikan dan jaringan, selain turut mempunyai penerbitan berimpak tinggi dalam banyak jurnal akademik terkemuka.

Program tahunan ini merupakan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Mufti Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor; Yang Di-pertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, bersama pegawai-pegawai negeri yang lain.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Fairus Md. Isa/ Terjemahan: Siti Faizah Abdul Halim 

  • Created on .
  • Hits: 1009

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024