USM UNGGULI UNIMAKER 2018
KUALA LUMPUR, 25 November 2018 - Universiti Sains Malaysia (USM) menyerlahkan kehebatan di Unimaker 2018 apabila dua pasukannya muncul juara dan naib juara, sekaligus membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM130,000 di sini hari ini.
Takhta juara dimenangi pasukan Whatever dengan inovasi mereka yang bertajuk Farmlogy: Precision farming with IoT and AI manakala naib juara, pasukan 4Dynamo menyerlahkan potensi inovasi melalui Intelligent and Responsive Imaging System (IRIS).
Pasukan Whatever dari Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) yang dibarisi oleh Tan Ren Zhang, Fung Chey, Yew Farng Hwai dan Law Xin Yuan tampil dengan inovasi yang membantu para petani mengenal pasti permasalahan tanaman melalui aplikasi teknologi yang lebih sistematik, cekap dan tepat.
Ia berupaya membantu para petani menguruskan hasil tanaman dengan lebih efisien, sifar pembaziran dan berkualiti tinggi.
Pasukan 4Dynamo pula memberi manfaat kepada para pengguna jalanraya melalui inovasi sistem berintegrasi yang dapat membantu menyelesaikan punca utama yang menyebabkan kemalangan berlaku dengan memberi amaran secara real time kepada pemandu.
Pasukan 4Dynamo dibarisi empat sepasukan termasuk Ch’ng Sim Chiang, Ang Chin Hai, Tan Zan Sang dan Chiew Sook Chin yang mana kesemuanya juga adalah dari PPSK USM.
USM mempelopori gerakan Makers di negara ini setelah memulakannya pada Mac 2017 hasil cetusan idea Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir hadir merasmikan upacara penutup dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Unimaker 2018 anjuran bersama Jabatan Pendidikan Tinggi, Universiti Malaya dianjurkan bagi menyahut Maker Movement yang menghakupayakan pembuat atau maker supaya mampu mewujudkan ekosistem pasaran mereka sendiri.
Pertandingan ini terdahulu telah dianjurkan secara berperingkat melibatkan empat wilayah termasuk utara, selatan, timur dan tengah serta 20 pasukan teratas yang mengungguli saingan wilayah berentap di peringkat kebangsaan itu.
Unimaker turut menjadi platform untuk menanam dan memupuk Pergerakan Maker Malaysia yang akan memberi impak besar kepada seluruh mahasiswa dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seperti yang diharapkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hadir sama ke pertandingan berkenaan.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1602