USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMARAHKAN MASJID DAN SERTAI PELBAGAI AKTIVITI SEMPENA MAULIDUR RASUL

PULAU PINANG, 23 November 2018 – Warga kampus dan orang ramai djemput mengimarahkan masjid dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan oleh Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) sempena sambutan hari kelahiran junjungan besar baginda Rasulullah S.A.W., Maulidur Rasul.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, penglibatan warga kampus dan orang ramai dalam aktiviti yang disajikan sempena Maulidur Rasul amat dialu-alukan antara lainnya menunjukkan kasihnya kita dan cintakan Rasulullah S.A.W.

“Marilah kita bersama-sama menyertai aktiviti yang disediakan malah dengan penglibatan program berfaedah seperti ini diharap dengan rahmat-Nya mampu membuka ruang untuk kita meningkatkan bekalan amalan dan pahala di akhirat kelak,” ucapnya ketika mewakili Naib Canselor sempena majlis perasmian Ihtifal Maulid Al-Rasul 1440H di Masjid Al-Malik Khalid, USM.

Tambahnya lagi, Islam adalah Ad-Din iaitu umatnya bukan sahaja untuk beribadat semata-mata, malah Rasulullah S.A.W. turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial, sukan dan program luar melibatkan keagamaan bagi menambahnilai cara hidup yang lebih baik.

“Saya berterima kasih kepada pihak Pusat Islam kerana berusaha menarik minat golongan belia terutamanya bagi mendekati masjid dan menanam semangat cintakan Rasulullah S.A.W. dengan pelbagai aktiviti bermula hari ini sehingga 30 November 2018,” jelasnya.

Pada majlis yang sama, Timbalan Pendaftar Pejabat Aset dan Operasi USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ihtifal Maulid Al-Rasul 1440H peringkat USM, Haji Abd Hadi Ahmad berkata, tujuan Pusat Islam menganjurkan pelbagai aktiviti ini adalah sebagai mengikuti langkah baginda Rasulullah S.A.W. dalam memperjuangkan agama meliputi setiap aspek kehidupan.

“Majlis ilmu berkaitan Islam bukanlah di dalam masjid sahaja, malah pelbagai cara melalui program-program dan aktiviti kesukanan sebagai menyahut seruan apa yang diajar oleh Baginda untuk umatnya,” katanya.

Turut diadakan sebelum majlis perasmian adalah majlis khatam Al-Quran yang diketuai oleh Dr. Hj. Mohd Zamrus Mohd Ali. 

Yang turut hadir adalah Mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pemangku Pengarah Pusat Islam, Mohammad Shukri Osman dan Pegawai-Pegawai Utama Universiti.

Antara program-program menarik yang diadakan adalah bacaan kitab Syamail, Tausiyah dan Qasidah, Mualaf Sharing Tour, Kejohanan Sepak Takraw & Petanque Piala Maulidur Rasul, Pertandingan Memasak dan Gubahan, Kem Smart Awlad, Forum 4 beradik (Nason Brothers) bertajuk ‘Begini Nabi Mengajar’ dan larian amal Maulidur Rasul.

Semua dijemput hadir bagi memeriahkan program-program tersebut.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 4428

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024