MALAM GALA ICF 2018 MERIAH DAN MENDAPAT SAMBUTAN HEBAT
PULAU PINANG, 22 November 2018 – Malam Gala International Cultural Fiesta 2018 (ICF 2018) yang dianjurkan oleh Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung dengan meriah serta mendapat sambutan yang hebat dengan dihadiri oleh hampir 2,200 orang pelajar dan tetamu jemputan.
Malam Gala yang bertemakan ‘Fiesta’ tersebut menampilkan pertandingan persembahan dari pelajar dari pelbagai negara termasuk Thailand, United Kingdom, China, Pakistan, Jepun, Korea, Bangladesh, Finland, Morocco dan Malaysia.
Di samping itu, turut diadakan pertandingan nyanyian lagu Bahasa Melayu yang didendangkan oleh para pelajar antarabangsa.
Persembahan nyanyian oleh Indah Ramdhanty dari Indonesia yang mendendangkan lagu Dipintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah mencuri perhatian umum dan dinobatkan sebagai juara pertandingan.
Tidak kurang hebatnya juga persembahan pelajar dari Vietnam, Mohamach Rouslan yang menyanyikan lagu asal Dadali bertajuk Di Saat Aku Mencintaimu yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut, dan tempat ketiga dimenangi oleh pelajar dari Jepun, Yu KI Konishi yang menyanyikan lagu asal Faizal Tahir, Assalamualaikum.
Untuk persembahan kebudayaan negara-negara luar, Jepun memenangi hadiah Most Valuable Performance manakala Korea dinobatkan sebagai persembahan terbaik selepas memukau para penonton dengan tarian k-pop yang sungguh bertenaga.
Selain Malam Gala, turut diadakan ialah pameran kebudayaan oleh negara-negara yang terlibat dan para pengunjung dapat mengenali budaya dan adat resam pelajar-pelajar dari pelbagai negara. Hadiah Best Cultural Booth dimenangi oleh negara Thailand.
ICF 2018 turut dijayakan oleh 57 pelajar pertukaran luar negara, 113 pelajar antarabangsa serta 50 Buddies USM dan staf IMCC.
Hadir dan menyampaikan hadiah ialah Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Pengarah IMCC, Dr. Muhizam Mustafa. Turut hadir ialah suami Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan isteri; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan isteri; Timbalan Pengarah IMCC, Dr. Mohd Hafizal Mohd Isa serta Konsul Jepun di Pulau Pinang, Kenji Yamakawa dan timbalannya, Kosuke Nakagawa.
Teks; Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1025