GORANGE: KEMPEN SISA SIFAR PPK BERTEMAKAN KITAR SEMULA UNTUK KELESTARIAN HARI ESOK
PULAU PINANG, 22 November 2018 – Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menganjurkan satu kempen sisa sifar yang dinamakan sebagai Gorange pada 28 sehingga 30 November 2018.
Gorange ini diambil dari singkatan ‘generasi oren’ yang digambarkan sebagai generasi yang aktif dalam menyokong aktiviti kitar semula.
Objektif utama kempen ini adalah untuk mendidik warga Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) mengenai kepentingan, keperluan, dan kebaikan kitar semula. Selain itu, kempen ini juga bermatlamat untuk menerapkan sikap pro kitar semula dalam kalangan warga PPK serta mengaktifkan 20 orang renjer sukarelawan kitar semula dalam kalangan pelajar PPK.
Kempen Gorange ini dijalankan oleh Persatuan Komunikasi (PERKOM) USM di bawah bimbingan dan nasihat para pensyarah PPK.
Pelbagai pihak terutamanya kerajaan, industri pengurusan sisa, media, dan badan bukan kerajaan alam sekitar (ENGO) turut sama-sama membantu dalam menjayakan kempen ini.
Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang telah tampil sebagai penaja utama bagi kempen ini di samping penaja lainnya seperti Malaysian Nature Society.
ADUN Batu Uban, YB. Kumaresan A/L Aramugam juga telah berbesar hati untuk menaja tiga set tong sampah kitar semula untuk diletakkan di sekitar PPK.
Pihak ENGO seperti Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Penang Green Council turut memberikan sokongan sepanjang kempen ini berlangsung.
CAP misalnya telah memberikan latihan tentang pengasingan sampah kepada renjer-renjer PPK manakala Penang Green Council bakal melakukan pameran semasa hari kempen berlangsung.
Pelbagai aktiviti menarik bakal dilaksanakan sepanjang berlangsungnya kempen ini termasuklah mewujudkan waktu-waktu khusus untuk pungutan barangan kitar semula oleh renjer-renjer, pameran dan permainan berkaitan kepentingan kitar semula.
Satu forum berkenaan membudayakan amalan kitar semula akan dianjurkan bagi memberikan pendedahan dan kesedaran kepada warga PPK akan peri pentingnya menjadikan amalan kitar semula sebagai gaya hidup di Malaysia.
Penganjuran kempen ini secara keseluruhannya diharapkan dapat melahirkan warga PPK yang mengamalkan kitar semula dan seterusnya menjadi contoh yang baik kepada warga USM.
Untuk maklumat lanjut tentang Kempen Sisa Sifar: Gorange – Pusat Pengajian Komunikasi, sila lawati laman sesawang Facebook, https://www.facebook.com/GorangeUSM/ atau hubungi Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh di talian 04-6535154 atau menerusi emel beliau iaitu
- Created on .
- Hits: 1453