USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“JADIKAN PEGAWAI SUKARELA SEBAGAI TELADAN” - NC

EAM 1921

PULAU PINANG, 21 November 2018 – “Harapan saya agar anda dapat menjadikan Pegawai Sukarela yang ada bersama anda sebagai teladan yang baik dalam mengejar cita-cita dan impian kerjaya masing-masing.

“Serlahkan potensi yang ada dalam diri anda semua dengan membuktikan kepada universiti bahawa anda semua boleh menjadi seperti permata, yang terhasilnya bukan akibat dibelai manja tetapi lahirnya akibat mengharungi tekanan demi tekanan,” kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Komandan PALAPES USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail kepada lebih 50 kadet baharu USM.

“Buktikan kepada semua yang anda mampu berjaya dalam akademik meskipun tidak kering peluh menghabiskan silibus latihan PALAPES,” tambahnya.

“Saya juga secara peribadi ingin menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Ketua Jurulatih, Pegawai-pegawai Sukarela PALAPES USM serta barisan jurulatih yang telah banyak mengorbankan masa bersama Pegawai Kadet berbanding ahli keluarga di rumah.

“Janganlah Pegawai Kadet sekalian mensia-siakan pengorbanan itu dan hanya Allah S.W.T sahaja yang mampu membalasnya dan kepada para Jurulatih, janganlah sesekali berasa jemu untuk mendidik Pegawai Kadet yang akan menjadi pemimpin kita pada masa akan datang,” pesan Asma.

Pada majlis yang sama, Asma turut memakaikan pangkat Leftenan kepada pegawai sukarelawan staf yang juga Pegawai Keselamatan KP41 di Jabatan Keselamatan USM, Lim Chee Ann.

Lim mula ditauliahkan pada 23 Ogos 2014 dan kemudianya bertukar masuk dari Rejimen 501 Askar Wataniah ke dalam kekuatan Pegawai Sukarela PALAPES USM pada 25 Jun 2018.

Lim dinaikkan pangkat dari Leftenan Muda ke Leftenan berkuatkuasa pada 2 Mei 2018 dan menjawat jawatan jurulatih peringkat Junior. 

Turut hadir ialan Timbalan Komandan PALAPES, Lt. Kol. Shahrizal Nazri; Ketua Jurulatih, Mejar Khairun Anwar Mat Isa dan Ajutan, Kapten Mior Mohd Nor Mior Zahari.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1514

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024