KOKURIKULUM WADAH PERKUKUH PERPADUAN PELAJAR
PULAU PINANG, 21 November 2018 – Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum berupaya dijadikan wadah untuk memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum.
Semangat perpaduan ini amat penting dalam mewujudkan universiti yang harmoni seterusnya memberi kesan positif kepada negara yang aman dan makmur.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), ACP Kor SUKSIS, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, merangkap Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) USM berkata, keharmonian hanya mampu dikecapi sekiranya pelajar yang berbilang kaum saling bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam apa juga perkara, dan kokurikulum memainkan peranan utama bagi menyatukan semua pelajar berbilang kaum.
“Semangat perpaduan dapat diperkukuh apabila pelajar berbilang kaum bekerja bersama-sama dalam menjayakan sesuatu program atau kegiatan kokurikulum,” ucapnya ketika mewakili Naib Canselor merasmikan Hari Perbarisan Latihan Badan Unit Beruniform sidang 2018/2019 di Padang Kawad, USM baru-baru ini.
Tambahnya lagi, selain mengukuhkan perpaduan, kokurikulum memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dan memupuk pelbagai kemahiran yang berguna dalam kehidupan seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, berfikiran kritis, bijak menyelesaikan masalah serta memupuk nilai keusahawanan dan kepimpinan.
“Saya pasti sekiranya pelajar USM yang menyertai kokurikulum berusaha dengan penuh komitmen, ia pasti dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka apabila bergraduat dan keluar bekerja kelak,” jelasnya lagi.
Pada majlis yang sama, Abdul Rahman memeriksa perbarisan yang dianggotai seramai 272 ahli dari Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Tentera (PALAPES) Darat, Udara dan Laut, Pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS), Kor Sukarelawan Pertahanan Awam (SISPA), Pasukan Kelana Siswa, Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Pasukan St John Ambulans.
Yang turut hadir adalah Kolonel Bersekutu Pertahanan Awam, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman selaku Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM merangkap Timbalan Komandan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam Malaysia USM; Mejar Kehormat Tentera Udara Diraja Malaysia, Dr. Mohd Salman Abu Mansor selaku Penyelaras Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM; Superitenden Kor SUKSIS, Dr. Nazarudin Zainun yang juga Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM merangkap Timbalan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa-siswi USM dan Pengarah Projek Hari Perbarisan Pembukaan Latihan Badan Unit Beruniform Sidang Akademik 2018/2019, Nor Rabiatul Adawiyah binti Junaidin.
Majlis berakhir dengan sesi persembahan latihan menyelamat Kor Sukarelawan Pertahanan Awam (SISPA) dan tarian Haka oleh gabungan ketiga-tiga PALAPES Darat, Udara dan Laut.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 11346