‘JOURNEY TO EAST’ PLATFORM RAPATKAN PELAJAR DAN ORANG ASLI
PAHANG, 8 November 2018 - Sukarelawan Polis Siswa/wi (SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan Program ‘SUKSIS Journey to East' yang merupakan program menabur bakti kepada komuniti Orang Asli.
Bertempat di Kampung Leryar, Pahang, program ini berlangsung daripada 3 November sehingga 6 November 2018 dan telah berjaya merapatkan hubungan anggota SUKSIS USM dengan masyarakat Orang Asli di sana.
Pegawai Penyelaras SUKSIS USM, Haji Abdul Ghani Muhammad Ali berkata, program ini bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli di samping membina talian persaudaraan di antara pelajar dengan mereka.
"Nilai diri terhadap masyarakat dapat dibentuk melalui program sebegini. Anggota SUKSIS USM mestilah dilatih untuk lebih peka terhadap isu-isu dalam masyarakat supaya mereka mempunyai jiwa dan perasaan bertanggungjawab terhadap masyarakat," kata Abdul Ghani.
Tambah Abdul Ghani, bukan hubungan antara Orang Asli dan pelajar sahaja, malahan hubungan SUKSIS USM dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga dapat dibina lantaran sokongan JAKOA terhadap program ini.
Bagi Pengarah projek, Siti Nazirah Hussin pula, selama tiga hari dua malam bersama masyarakat Orang Asli di sana, mereka dapat mempelajari pelbagai perkara baharu.
"Sebagai pelajar, kami menyedari bahawa kami mestilah peka dan matang terhadap isu-isu kemasyarakatan termasuklah terhadap komuniti Orang Asli tanpa sebarang prejudis," kata Nazirah.
Tambah Nazirah, setiap manusia mempunyai hak sama rata dan wajar dilayani dengan adil, dan mereka memilih untuk melawat komuniti Orang Asli kerana menginginkan kelainan untuk kali ini, berbanding program-program yang lepas.
"Sejujurnya, pelbagai cabaran kami hadapi untuk melaksanakan program ini. Namun, disebabkan keinginan dan azam, kami semua bersatu hati mencari jalan penyelesaian dan akhirnya program ini berjaya dilaksanakan," jelas Nazirah.
Teks Asal: Mohamad Azwan Mahmud Safbri/Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1440