JAGA ADAB DAN SENTIASA BERTERIMA KASIH KEPADA YANG MEMBERI
PULAU PINANG, 8 November 2018 – Para pelajar dinasihatkan sentiasa menjaga adab, seimbangkan antara ilmu pengetahuan dengan sikap yang betul serta berusaha untuk memberi apabila berupaya.
Berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan USM kepada lebih 120 orang penerima di sini, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, setiap penerima mestilah menerima sumbangan dengan penuh tanggungjawab kerana mereka yang memberi, memberinya dengan ikhlas.
"Oleh yang demikian, para pelajar mestilah bertekad untuk memberi balik pada masa hadapan kepada masyarakat dan sentiasa mengamalkan adab untuk berterima kasih kepada mereka yang memberi," kata Asma.
Beliau turut menyeru para alumni USM untuk turut memberikan sumbangan melalui Yayasan USM untuk disalurkan kepada para pelajar dan mereka yang memerlukannya.
Yayasan USM yang ditubuhkan pada tahun 2014, banyak menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk disalurkan kepada masyarakat sebagai sebuah universiti APEX.
Yayasan USM memberi sumbangan sebanyak lebih RM2 juta dalam tempoh empat tahun ini melalui sumbangan pelbagai pihak.
Beliau juga menyeru agar lebih banyak pihak tampil memberikan sumbangan kepada Yayasan USM untuk membolehkannya terus menyumbang kepada mereka yang memerlukannya.
Menurut Asma, banyak lagi sumbangan selain dari dalam bentuk kewangan yang diberikan oleh USM, seperti hasil inovasi penyelidikan serta projek-projek libatsama komuniti untuk dinikmati oleh masyarakat. Universiti mendidik untuk masyarakat berdikari.
Yang turut hadir ialah Pengarah Yayasan USM Profesor Dato' Ir. Dr. Mahyuddin Ramli.
Antara penerima sumbangan ialah 92 orang yang menerima Bantuan Khas APEX 2018, 11 orang penerima bantuan komputer riba, sumbangan derma kasih kepada Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah, sumbangan derma kasih Children’s Protection Society, Patient Heart Fund Penang Adventist Hospital dan sumbangan komuniti kepada Ruzita Mohamed Yusof sekeluarga.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1629