USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT LAHIRKAN GRADUAN SULUNG DALAM BIDANG SENAMAN KLINIKAL

PULAU PINANG, 25 Oktober 2018 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menghasilkan lapan orang ‘Graduan Sulung’ dalam bidang Sarjana Sains (Sains Senaman Klinikal).

Kohort graduan sulung ini merupakan sebahagian daripada sejumlah 593 graduan yang menerima ijazah tinggi daripada Canselor USM, DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Sidang Pertama Upacara Konvokesyen USM kali ke-56 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini baru-baru ini.

Program Sarjana Sains Senaman Klinikal merupakan program pertama yang ditawarkan di Malaysia bertujuan melahirkan tenaga profesional yang terlatih dalam melaksanakan program intervensi berkaitan gaya hidup sihat yang melibatkan senaman, pemakanan dan psikologi.

Penawaran program ini di peringkat sarjana adalah selaras dengan perkembangan di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan di Eropah yang menawarkan program sarjana dalam bidang ‘Clinical Exercise Science’ atau juga diberikan nama program Sarjana ‘Clinical Exercise Physiology’.

Di samping itu, graduan daripada program Sarjana Sains (Sains Senaman Klinikal) akan memenuhi keperluan tenaga profesional berkaitan sains senaman dan kesihatan seperti yang dikehendaki oleh sektor awam dan swasta di Malaysia.

Keperluan tenaga profesional ini selari dengan hasrat negara Malaysia untuk mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Kandungan kursus di dalam program sarjana ini memenenuhi ciri-ciri akreditasi yang ditetapkan oleh Exercise Sport Science Australia (ESSA). Ianya dimantapkan lagi dengan memberikan penekanan kepada gabungan aspek teori dan praktikal dalam pengisian kursus-kursusnya.

Pendekatan ini diambil bagi memastikan para pelajar akan mengaplikasikan unsur teori kepada praktikal bagi membantu mereka melaksanakan tugasan mereka dengan lebih efektif.

Pelaksanaan program Sarjana Sains Senaman Klinikal juga melibatkan penempatan klinikal selama 10 minggu di Pantai Integrated Rehab Sdn Bhd, Kuala Lumpur. Penempatan Klinikal ini dilaksanakan melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai bertujuan untuk meningkatkan keupayaan klinikal dan kemahiran mereka dalam latihan interprofesional.

Teks & Foto: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 802

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024