PERANCANGAN 2013: USM LAKSANAKAN TIGA INISIATIF KHUSUS
PULAU PINANG, 10 Jan.2013 – Tiga inisiatif utama telah dikenalpasti dalam usaha memperkukuhkan peranan dan kecemerlangan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kerangka halatuju Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) Fasa Dua 2014-2025.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, tiga inisiatif bersifat jangka pendek tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, meliputi penawaran tempat kepada pelajar terkebawah melalui saluran khas yang sedang dalam proses kelulusan Senat.
Katanya, dua lagi inisiatif termasuk meluaskan penawaran program di peringkat profesional dan pasca siswazah di pusat pembelajaran setempat di Kuala Lumpur serta menjayakan teras untuk memastikan sistem dalaman universiti dapat dijalankan secara berkesan dan kos efisien.
``Untuk program saluran khas, universiti berharap dapat mewujudkan satu wadah untuk membina bakat dalam kalangan pelajar-pelajar terkebawah, termasuk golongan asal (pribumi), penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak serta golongan kelainan.
``Golongan ini walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik yang cukup tinggi untuk memohon kemasukan ke USM, namun mereka dinilai melalui potensi dan kebolehan mengembangkan bakat dengan cemerlang serta dapat kembali ke kumpulan mereka untuk berbakti,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor 2013 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di hadapan lebih 3,000 warga kampus termasuk pengurusan tertinggi universiti.
Perutusan Naib Canselor pada tahun ini berkisar kepada tajuk Bersama-sama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU): Mensinergi Ekosfera Universiti untuk Kecemerlangan yang menitipkan kerangka dan inisiatif untuk memulakan fasa kedua APEX 2014-2025.
Tambah beliau, universiti juga akan membuka rangkaian lebih luas kepada pelajar-pelajar antarabangsa melalui program-program pasca siswazah yang mempunya potensi untuk ditawarkan di pusat pembelajaran setempat di Kuala Lumpur.
``Pusat Setempat itu yang juga telah beroperasi dua tahun dengan penawaran program Sarjana Komunikasi Integratif akan dikembangkan khususnya dalam program yang diperlukan di peringkat kerja kursus tahap profesional,’’ ujarnya.
Omar turut menekankan tiga perkara pokok yang menjadi asas kepada pembinaan universiti masa hadapan yang tidak hanya bergantung kepada pembiayaan kerajaan semata-mata.
Sebaliknya ujar beliau, pelaksanaan APEX fasa dua turut melihat kepada langkah-langkah tertentu yang perlu diambil bagi menjana pendapatan sendiri yang dapat menjadikan USM sebagai sebuah universiti berautonomi yang dapat memacu kecemerlangannya.
``Kita harap dapat menjadikan USM sebagai universiti berautonomi yang mempunyai sistem urustadbir tinggi (self-govern) dan berupaya menjana pendapatannya sendiri (self-sustain).
``USM juga berhasrat dapat memastikan warganya berupaya menguruskan program sendiri tanpa melibatkan pembinaan birokrasi yang rumit dan melibatkan banyak kos (self-empowerment),’’ ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan empat buah penerbitan buku baru USM iaitu BUKU 2013: Mensinergi Ekosfera Universiti untuk Kecemerlangan, The APEX University: Tha State of the Art, The APEX University Second Phase 2014-2025 dan USM in Numbers: Fact and Figure.
Buku-buku berkenaan disifatkan sebagai sangat bermanfaat khususnya dalam menceritakan usaha yang telah dilaksanakan USM sehingga ke hari ini dan potensi pengembangan inisiatif-inisiatif yang diusahakan.
``Secara keseluruhannya buku-buku ini akan membolehkan kita menjalankan strategi tertentu untuk memberikan makna dalam transformasi pengajian tinggi negara dan memberi nilai tambah kepada penjanaan kualiti bakat-bakat tempatan,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2890