USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAYU TERIMA IJAZAH ANAK

IMG 0167

PULAU PINANG, 26 Oktober 2018 – Seorang ibu menahan sebak sebaik menerima skrol ijazah anak kelimanya, Allayarhamah Nur Syazana Azmi yang telah pulang ke pangkuan Ilahi ekoran penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) pada Mac tahun ini.

Lebih memilukan, Fatimah Baharum, 59, yang mengharap sokongan suaminya untuk meneruskan hidup turut kehilangan tempat bergantung apabila suaminya, Allayarham Azmi Ali turut kembali ke rahmatullah hanya selepas 19 hari beliau kehilangan Nur Syazana.

Beliau berkata, perasaan hibanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata namun tetap redha dengan ketentuan dari Allah.

"Saya amat terkesan dengan kehilangan dua insan tersayang dalam masa yang singkat. Arwah anak yang baik dan kami hanya mengetahui arwah mengidap SLE beberapa minggu sebelum kehilangannya.

"Saya akan simpan skrol ini sebagai kenangan dan akan sentiasa mendoakan kedua-dua anak dan arwah suami ditempatkan dalam kalangan para solihin," ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Anak sulungnya, Nor Azira pula berkata, beliau kagum dengan semangat ibunya dan menyifatkan beliau sebagai seorang yang cukup tabah.

"Saya dan adik-adik sentiasa bersama ibu bagi memastikan beliau gembira dan tidak terlalu memikirkan ujian kami sekeluarga. Ibu tetap kuat dan tenang menghadapi segala yang telah berlaku," ujarnya.

Allayarhamah Nur Syazana dianugerahkan Ijazah Anumerta (Sarjana Muda Sains Gunaan) sempena Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-56 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi ini, yang turut menyaksikan seramai 729 graduan menerima ijazah mereka dalam bidang Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Seni Bina dan Teknologi.

Ijazah Allayarhamah disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur. Turut serta ialah Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; dan Pendaftar, Dr. Musa Ali.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1173

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024