USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBU BANGGA DUA ANAK BERGRADUASI BERSAMA

PULAU PINANG, 26 Oktober 2018 – Seorang ibu hari ini melahirkan rasa bangga dan bersyukur kedua-dua anaknya berjaya bergraduasi bersama dalam Upacara Konvokesyen ke-56 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.  

Anisah Tan Abdullah, 51, juga melahirkan rasa syukur beliau yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T. kerana kedua-dua anaknya iaitu Mohd. Irwan Shah Idrus, 28 dan adiknya, Muhamad Azlan Shah Adnan, 23, dapat meraikan penat lelah menuntut ilmu bersama-sama. 

Mohd. Irwan Shah yang mengikuti pengajian melalui Program Jarak Jauh bergraduasi dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Fizik manakala adiknya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dalam bidang Geofizik. Mereka juga mendaftar untuk menyambung pengajian di USM pada tahun yang sama.  

Muhamad Azlan Shah juga adalah penerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi kategori pelajar bumiputera di upacara konvokesyen pada kali ini. 

“Kami memang selalu mengulangkaji pelajaran bersama walaupun ada perbezaan dari subjek yang dipelajari namun kami saling bantu-membantu supaya dapat menamatkan pengajian bersama,” kata Mohd. Irwan Shah yang juga seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) di Majlis Bandaraya Pulau Pinang. 

Menurut Muhammad Azlan Shah pula, doa kedua ibu-bapanya adalah semangat kami untuk berjaya serta menggenggam segulung ijazah di samping dorongan dari abangnya. 

“Saya masih belum membuat keputusan sama ada untuk bekerja atau menyambung pengajian walaupun saya telah mendapat tawaran untuk mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah secara Fast Track di USM,” tambah Muhammad Azlan Shah ditemani ibu dan neneknya manakala ayah perlu bekerja pada masa yang sama. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024