KAMEL SAMPAIKAN HADIAH KEPADA LIMA PEMENANG UNIMAKER ZON UTARA
PULAU PINANG, Oktober 2018 – Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dato’ Kamel Mohamad mewakili Menteri Pendidikan hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang Unimaker Zon Utara yang berlangsung akhir bulan lalu.
Lima pasukan tersebut ialah Whatever dari Universiti Sains Malaysia (USM), Bookklik (Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan juga 4dynamo, Smilo Meter dan Wysetime dari USM.
Kesemua pasukan bakal berentap di Pertandingan Unimaker Peringkat Kebangsaan November ini setelah berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik dari 31 pasukan yang bertanding di peringkat Zon Utara.
Johan Zon Utara iaitu pasukan 4dynamo membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.00 setelah meyakinkan juri dengan projek mereka yang bertajuk ‘Making Malaysian Roads Safe Again’.
Pasukan ini telah membangunkan sistem computer vision yang menyeluruh dan bersepadu dengan menggunakan teknologi deep neural network dan machine learning untuk memperbaiki perhatian pemandu, meningkatkan masa reaksi mereka dan menambah keupayaan penglihatan para pemandu, khususnya pada waktu malam.
Naib Johan disandang oleh pasukan Bookklik dengan projek TourGo iaitu satu aplikasi bebas web berdasarkan “Augmented Reality (AR)” dan bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan pelancong dan menggalakkan mereka melawat tempat-tempat menarik. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,500.00.
Tempat ketiga pula diberikan kepada pasukan Wysetime dengan projek bertajuk Virtual Ticketing System (VTS) ~ Face Recognition Entrance in Tourist Attractions dan membawa pulang hadiah berjumlah RM7,000.00.
Projek ini memperkenalkan satu sistem pengenalan wajah pintar melalui integrasi dan aplikasi teknologi computer vision, deep learning and data analytic technology untuk pengesahan identiti pelancong.
Tempat keempat dan kelima diberikan kepada pasukan Whatever dan Smilo Meter dan masing-masing membawa pulang hadiah RM4,000.00 dan RM3,000.00.
Kesemua pemenang peringkat zon bakal berentap di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 23-24 November ini.
UNIMAKER ialah program Makeathon yang telah dilancarkan pada Jun 2018 untuk pelajar menghasilkan idea dan penyelesaian inovatif bagi Industri Revolusi ke-4 atau 4IR.
UNIMAKER bertujuan untuk memperkenalkan Maker Movement dalam universiti di Malaysia. Program ini direka untuk membawa akademia dan industri, bersama-sama dalam satu medan untuk menghasilkan idea dan penyelesaian inovatif.
UNIMAKER dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (Zon Utara), Universiti Malaya (Zon Tengah), Universiti Teknologi Malaysia (Zon Selatan) and UniSZA (Zon Timur). Program ini dibuka kepada semua pelajar universiti awam dan swasta di Malaysia.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1326