ARKEOPELANCONGAN NEGARA PERLU DIPERKASAKAN
PULAU PINANG, 9 Oktober 2018 – Kepakaran ahli arkeologi dan arkeopelancongan dalam negara perlu terus diperkasakan agar data yang dihasilkan adalah tepat dan berpotensi untuk menghasilkan produk pelancongan yang menguntungkan.
Demikian ujar Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika merasmikan Seminar Arkeologi Kebangsan kali ke-4 di sini hari ini.
Menurutnya lagi, komitmen bersama diperlukan daripada semua pihak yang berkaitan untuk terus menyokong kelangsungan bidang arkeologi di negara ini serta membangunkan bidang arkeopelancongan negara.
“Mulai Januari hingga Jun 2018, seramai 5.4 juta pelawat telah mengunjungi Tapak Warisan Dunia UNESCO di negara ini dan ini menunjukkan bidang arkeopelancongan menjadi trend terkini kerana pelawat dapat pengalaman baharu,” tambah Muhammad Bakhtiar yang turut melancarkan Buku Prosiding Seminar Arkeologi Kebangsaan ke-4 pada majlis yang sama.
“Selain itu, aspek kesedaran dalam kalangan masyarakat juga turut dijadikan sasaran utama kerana adanya kesedaran yang tinggi terhadap warisan sudah tentu dapat mewujudkan perasaan tanggungjawab berbanding kepentingan individu.
“Pengiktirafan Tapak Arkeologi Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO menjadikan bidang arkeologi negara ini berada di pentas dunia yang boleh dibanggakan dan kajian dan pembangunan pelancongan arkeologi ini terus berkembang subur di Malaysia dan menjadi warisan dunia,” ujarnya lagi.
“Bidang arkeologi merupakan bidang ilmu yang memupuk rasa cinta dan bangga dengan tanahair kerana penemuan khazanah aktifak yang unik dan tidak ternilai harganya,” kata Pengarah Kampus Kejuruteraan mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.
“Saya percaya komitmen semua pihak dalam penganjuran seminar ini dapat membantu universiti dalam meningkatkan bidang arkeologi ke peringkat yang lebih tinggi dan di peringkat global,” tambah Nor Azazi.
Ketua Pengarah merangkap Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Dato’ Dr. Zainah Ibrahim pula menyeru semua agar sama-sama berganding bahu dalam meneruskan agenda pemuliharaan dan pemeliharaan warisan negara dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa jika berdepan dengan sebarang aktiviti penjarahan terhadap warisan.
“Berdasarkan senarai terkini, terdapat sebanyak 965 tapak arkeologi direkodkan di seluruh Malaysia merangkumi 822 tapak arkeologi darat dan 143 bawah air dan sebanyak 13 tapak telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan 9 diwartakan sebagai Tapak Warisan dibawah peruntukan Akta 645," tambah Zainah.
Seminar dua hari ini adalah anjuran bersama USM melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Jabatan Warisan Negara dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan disokong oleh Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IKATAN) dan Sekretariat Kearifan Tempatan, USM.
Pada tahun ini, seminar ini bertemakan “Memperkasakan Kearifan Arkeologi Malaysia dan Serantau”, dengan 60 pembentangan akan disampaikan oleh para penyelidik yang merangkumi penyelidikan daripada arkeologi prasejarah hinggalah kepada bidang arkeopelancongan negara.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan, Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko, NCIA, Hasri A. Hasan dan Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 16458