PROPERBM REALISASIKAN AGENDA PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU
PULAU PINANG, Sept. 2018 – Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima 27 orang pelajar dari tiga buah institusi pengajian tinggi negara China baru-baru ini untuk mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu/Pengajian Melayu (PROPERBM) bagi Sidang Akademik 2018/2019.
Kesemua pelajar China berkenaan merupakan pelajar tahun 3 jurusan Bahasa Melayu dari Guangdong University of Foreign Studies, Yunnan Minzu University dan Hainan College of Foreign Studies. 10 daripada mereka mendaftar untuk 1 semester manakala 17 lagi mendaftar untuk 2 semester.
Dalam majlis penyambutan pelajar-pelajar tersebut, Dekan PPIK Profesor Dr. Narimah Samat mengalu-alukan kedatangan mereka dan menyatakan bahawa PPIK merupakan tempat yang amat sesuai untuk mempelajari bahasa, sastera dan tamadun Melayu kerana kebanyakan program dan kursus yang ditawarkan di PPIK ialah program dan kursus yang bersangkut-paut dengan alam Melayu.
“Harapan kami, selepas tamat program ini nanti, pelajar-pelajar China ini akan menjadi jambatan penghubung antara kedua-dua bangsa dan tamadun terutamanya melalui aktiviti penterjemahan,” katanya.
Katanya lagi, program di bawah inisiatif PPIK ini diharap dapat membantu menjana pendapatan di samping menambahkan bilangan pelajar antarabangsa.
Menurut penyelaras PROPERBM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, PROPERBM ialah pakej pemindahan kredit yang dirangka khas oleh PPIK dengan usahasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Pusat Pengajian Seni dan Pusat Rancangan Kokurikulum bagi merealisasikan agenda pengembangan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu.
“Pakej ini agak komprehensif dan merangkumi kursus bahasa dan kebahasaan, sastera, budaya, tamadun, sejarah dan terjemahan.
“Bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu mereka, PPIK bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Bahasa Melayu semasa minggu orientasi,” kata Goh, yang juga Penyelaras, Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi & Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, PPIK.
Tambahnya, di samping itu, semasa minggu orientasi, pelajar-pelajar ini turut diperkenalkan seni dan budaya Melayu melalui latihan kemahiran Dikir Barat.
“Dikir Barat sungguh menarik! Liriknya indah, dan rentaknya amat menceriakan. Walaupun tidak mudah untuk mengingat kata-kata dalam lirik, kami tetap tertarik untuk mempelajarinya,” ulas seorang pelajar China yang diberi nama Melayu Izzah oleh pensyarahnya di Guangdong University of Foreign Studies.
Manakala seorang lagi pelajar dari Yunnan Minzu University, Yasmin mengatakan bahawa dia tertarik untuk belajar bahasa Melayu kerana pada dia, bahasa Melayu adalah sangat penting sekiranya dia mahu mengadakan hubungan perniagaan dengan orang Melayu pada masa depan khususnya melalui inisiatif Jalur dan Laluan (China’s Belt and Road Initiative).
Yang turut hadir dalam majlis penyambutan pelajar-pelajar China adalah Timbalan Dekan Fakulti Bahasa-Bahasa Asia Tenggara, Guangdong University of Foreign Studies, Profesor Madya Dr. Tan Xiao; Pengerusi Rancangan Bahagian Bahasa Melayu, Yunnan Minzu University, Lin Jiarong, dan pensyarah-pensyarah USM.
Teks asal dan Foto: Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 2138