USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAKAL PEGUAM TERIMA WAQAF KERUSI RODA KHAS

bgggfhg

USM KUBANG KERIAN, 23 Sept. 2018 – Di saat orang sekeliling dapat menggunakan tangan untuk menulis dan mengetik di komputer, Muhammad Hadi Darus, 22, hanya mampu bergantung kepada kedua-dua belah kakinya untuk berbuat demikian.

Anak muda dari Pendang, Kedah ini terpaksa mengesot untuk bergerak dan mujur ada kerusi roda yang membolehkannya untuk bergerak agak jauh sedikit. 

Dilahirkan dengan tangan yang kecil menyebabkan beliau tidak mampu melakukan perkara rutin sebagaimana orang lain ditambah pula kecacatan kaki yang tidak membolehkan beliau untuk berdiri serta berjalan.

Walau bagaimanapun, dengan kekuatan dan semangat kental, beliau mampu menelusuri liku-liku kehidupan sehinggalah berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kepayahan pelajar Ijazah Sarjana Muda jurusan Syariah dan Undang-undang ini mendapat perhatian Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hadi diberikan sumbangan berupa sebuah kerusi roda khas yang telah dimodifikasi mengikut kesesuaian serta keperluan penggunaannya.

Selain itu, Hadi turut menerima sepasang kasut khas 'knee-shoes' untuk kegunaan terutama apabila dia terpaksa mendaki tangga kerana sebelum ini, pergerakan tersebut menyebabkan lututnya luka. Dengan adanya 'knee-shoes' yang direka mengikut saiznya dan dilengkapi dengan 'padding', ia dapat mengelakkan lututnya daripada mengalami kecederaan. 

hggf

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, keazaman, kecemerlangan dan kesungguhan Hadi dalam menuntut ilmu sangat membanggakan dan universiti memutuskan kerusi roda serta kasut khas yang telah dimodifikasi itu diwaqafkan kepadanya.

“Ia adalah sesuatu yang membanggakan untuk melihat Hadi mencapai impiannya menjadi seorang peguam dalam tempoh setahun dari sekarang, dan kerusi roda yang diwaqafkan ini diharap dapat memudahkannya bergerak.

“Istimewanya kerusi roda khas ini ialah ia bukan hanya boleh dilipat malahan bermotor, lebih ringan iaitu cuma 12 kilogram berbanding dengan kerusi roda yang digunakan sebelum ini, sangat membantu dia bergerak ke mana-mana dan membolehkan dia mengakses lebih banyak keperluan hariannya,” kata Asma.

“USM juga percaya, setiap individu yang dilahirkan dengan kekurangan sebegini memiliki keunikan tersendiri oleh itu, kita perlu melihat apakah cara yang terbaik untuk membantu agar mereka tidak merasa terpinggir. 

“Hari ini, USM memberikan kerusi roda serta kasut yang kami yakin sangat bersesuaian dengan keperluan Hadi dan kami bangga kerana turut memainkan peranan dalam membantu dia menjadi seorang yang berdikari serta mengubah tanggapan masyarakat terhadap orang kurang upaya (OKU) apatah lagi hubungan rapat antara USM dan USIM dan kepakaran yang ada bersama membuatkan kami merasa dekat untuk membantu,” ujar Asma lagi.

Sementara itu, Hadi melahirkan rasa syukur dan gembira dengan apa yang diterima dan pada beliau, USM benar-benar menghayati semangat APEX dalam mengangkat orang-orang yang kekurangan.

“Walaupun saya sudah tanam di dalam diri bahawa saya mampu hidup seperti orang normal namun perhatian yang diberikan oleh USM pada hari ini sangat menyentuh hati dan memberikan saya ilham untuk terus memetakan masa hadapan yang lebih baik.”

Apabila ditanya apakah resepi kejayaannya? Jawapan Hadi ialah sentiasa berdoa untuk mendapatkan keberkatan sepanjang belajar serta tidak pernah malu dengan diri sendiri dan sentiasa menjaga kebajikan ibu bapanya.

Projek Pembangunan modifikasi kerusi roda ini dilaksanakan oleh Pasukan Kerusi Roda, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM  dan Juruteknik Perubatan Prostetik dan Ortotik, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital USM.

Menurut Asma, USM khususnya Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) sangat komited dalam projek pembangunan OKU termasuklah Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda sejak tahun 2013 melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara USM dan Rajanagarindra Institure of Chile Development (RICD), Chiang Mai, Thailand hasil inisiatif Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM).

Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), USIM, Profesor Dr. Mohamad Yahya Ariffin; Penasihat Program Transformasi OKU, PPSK, Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Ismail dan Penyelaras, Unit Transformasi OKU,  merangkap Ketua Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda, PPSK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1206

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024