VARIASISWA 2018 KETENGAH BAKAT PELAJAR BAHARU USM
PULAU PINANG, 14 Sept. 2018 – Malam Variasiswa 2018 membuka tirai aktiviti pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) dengan menyaksikan persembahan kebudayaan yang menarik dari setiap Desasiswa ketiga-tiga kampus.
Bertemakan "Hari Malaysia" sempena hari Kemerdekaan ke-61 yang disambut baru-baru ini dan hari Malaysia bakal disambut pada 16 September 2018, persembahan yang dibawa bakat muda USM berfokus semangat cintakan negara dan budaya tanah air termasuk penyatuan antara kaum.
Persembahan setiap Desasiswa nyata memukau hampir 2,000 orang penonton yang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM walaupun hujan lebat.
Dengan kehadiran Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan suami, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Hj. Zakaria; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan isteri; Pendaftar USM, Dr. Hj. Musa Ali serta para pegawai utama USM yang turut hadir memberi sokongan, menambah lagi kemeriahan malam tersebut.
Variasiswa yang diadakan saban tahun merupakan platform terbaik untuk pelajar mengetengahkan bakat termasuk menyumbang bakti kepada universiti pada masa akan datang.
Tahun ini Desasiswa Restu muncul sebagai juara keseluruhan Malam Variasiswa 2018, tempat kedua dimenangi Desasiswa Tekun manakala Desasiswa Aman Damai berada di tempat ketiga.
Program anjuran Unit Kebudayaan dan Kesukarelawanan BHEPA USM dan Desasiswa-Desasiswa USM ini juga mampu mencungkil bakat para pelajar tahun pertama di dalam seni persembahan dan sebagai satu pendekatan dalam menyemai nilai-nilai murni yang sepatutnya wujud di dalam diri seorang pelajar USM.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1295