PELAJAR ANTARABANGSA TERUJA DITERIMA MASUK KE USM
PULAU PINANG, 4 September 2018 – Pelajar antarabangsa yang mula mendaftar di Universiti Sains Malaysia (USM) gembira dan teruja dengan suasana pembelajaran yang lestari dan aman.
“Saya sangat berpuas hati dengan suasana pembelajaran di Kampus Induk dan juga Kampus Kejuruteraan dan berharap dapat memberikan fokus kepada pembelajaran,” kata seorang pelajar antarabangsa iaitu Mohamad Tayfour Abdalla Mohammed dari Sudan yang bakal menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanik di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal.
Seorang lagi pelajar antarabangsa iaitu Kiara Anastasia Wimandriwa dari Indonesia, pula menyifatkan peluang untuk ke USM adalah sangat bermakna dan tidak pernah menyesal dengan pilihannya. Kiara Anastasia menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Industri di Kampus Induk.
Pilihan mereka ke USM tidak dapat disangkal lagi terutama bagi Lyric Kyle Celedanio Martines , warganegara Filipina yang kini menetap di Dubai.
“Saya sangat meminati bidang Aeroangkasa dan tidak banyak institusi pengajian yang menawarkan bidang tersebut dan setelah kajian dibuat, bidang ini ada ditawarkan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa di Kampus Kejuruteraan dan saya melihat kehebatan pelajar-pelajar ini di laman sesawang dan juga media sosial dan sebab itu saya memilih USM,” tambah Lyric Kyle yang ditemani oleh ibunya semasa mendaftar di USM.
Tawaran pelajar antarabangsa ke USM pada sidang akademik 2018/2019 meningkat 100 peratus berbanding sidang lepas.
Pada sidang kali ini, seramai 283 calon pelajar antarabangsa dari 36 buah negara akan mendaftar ke USM berbanding 141 orang pelajar tahun lalu. Paling ramai pelajar adalah dari China iaitu 83 orang, Yemen (25), Indonesia (23) dan Arab Saudi (19).
Antara negara lain adalah Mesir, Maldives, Kanada, Brunei, Pakistan, Bangladesh, Bahrain, Thailand, Nigeria, Tanzania, Saudi Arabia, Jepun, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Negara asal pelajar juga meningkat dari 24 buah negara pada tahun lalu berbanding 36 pada sidang kali ini.
Peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa adalah selaras dengan agenda pengantarabangsaan USM sebagai sebuah Universiti APEX iaitu bagi Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau Accelarated Programme for Excellence (APEX).
Secara keseluruhan, sejumlah 4,615 calon dari lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/ Diploma/Setaraf ditawarkan peluang pengajian di ketiga-tiga Kampus USM bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) pada sidang kali ini. Pecahan ambilan pelajar mengikut kampus adalah Kampus Induk 3,221 pelajar, Kampus Kejuruteraan 768 pelajar dan Kampus Kesihatan 626 pelajar.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1185