DUA PENYELIDIK USM MENYINAR DI KOREA
PULAU PINANG, 2 Jan. 2013 – Dua penyelidik USM mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila tersenarai sebagai penerima anugerah khas sempena World Inventor Award Festival (WIAF) 2012 yang berlangsung di Seoul, Korea baru-baru ini.
Penyelidik berkenaan, Prof. Fauziah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) dinobat sebagai Women Invention Order Of Merit berdasarkan hasil kajiannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan inovasi negara.
Selain itu, Prof. Hanafi Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral pula merangkul anugerah Agriculture Invention Order Of Merit, juga dalam komitmen jitunya membangunkan penyelidikan yang memberi banyak manfaat kepada aspek kelestarian.
Fauziah dan Hanafi masing-masing telah menyumbang kepakaran dalam penyelidikan berkaitan teknologi terkini dalam penyelesaian masalah bencana alam serta penghasilan produk hijau yang dapat membantu masalah pencemaran alam sekitar.
Fauziah ketika ditemubual berkata, anugerah yang diterima dinilai berdasarkan kepada pencapaian produk di peringkat negara dan antarabangsa yang di ambil kira dari semua aspek baik inovatif, teknologi, penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan kejayaan.
``Sebagai pendidik dan penyelidik USM, kemenangan ini amat bermakna dalam menyuntik semangat kami untuk terus berkhidmat dan memberikan yang terbaik kerana WIAF juga adalah medan berprestij yang pertama dianjurkan oleh organisasi berkenaan,’’ ujarnya.
WIAF 2012 dianjurkan oleh Korea Invention News (KINEWS) dan dalam penganjurannya sejumlah 19 kategori dan 115 anugerah telah dipertandingkan dan disertai oleh para saintis, pihak industri, pelajar dan sebagainya dari seluruh negara. teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Ehsan PPKA
- Created on .
- Hits: 2636