USM GAH SERTAI PERARAKAN HARI KEBANGSAAN NEGERI PULAU PINANG
PULAU PINANG, 31 Ogos 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyemarakkan sambutan dan perarakan hari kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang 2018 dengan tidak ketinggalan menghantar kontingen seramai 70 orang untuk perarakan.
Ketua Kontingen USM, yang juga Penolong Pendaftar di Jabatan Pendaftar USM, Siti Aishah Abdul Raffar berkata, suasana di lokasi meriah dan dibanjiri warga Pulau Pinang walaupun keadaan dilaporkan hujan.
Siti Aishah juga berasa gembira dan berbangga kerana mendapat peluang memimpin kontinjen USM yang sentiasa bersemangat tinggi dalam setiap penampilan sempena perarakan Hari Kebangsaan.
Sementara itu, ahli kontingen, Muhammad Asyraf Sabri pula menyifatkan pengalaman berharga bersama ribuan warga di sambutan ini adalah satu peluang untuk memperkukuhkan perpaduan antara semua kaum.
“Kesempatan bersama kontingen USM dan juga warganegara Malaysia kali ini sangat mendalam ertinya dan ianya telah menyemarakkan semangat Sayangi Malaysiaku,” tambahnya.USM turut menampilkan keunikannya dengan penyertaan ahli kontingen yang berkerusi roda iaitu Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Dr. Mohd Muzammil Mohd Noor.
Program sambutan tahun ini turut dihadiri oleh TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, dan Hari Kebangsaan 2018 kali ini disambut meriah di seluruh negara dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’.
Tahun ini memperlihatkan keunikan bagi sambutan di Pulau Pinang kerana menampilkan 120 kontinjen dengan penyertaan 10,000 peserta dan paling manis adalah Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat kebangsaan telah disempurnakan pada awal bulan ini oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di lokasi yang sama.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Siti Aishah Abdul Raffar
- Created on .
- Hits: 1355