PPSL SEDIA SAHUT CABARAN
PULAU PINANG, 29 Ogos 2018 - Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang Akademik 2018/2019 bersedia menyahut cabaran bagi menghadapi ketibaan kemasukan pelajar baharu pada 1 dan 2 September 2018.
Sejumlah 243 pelajar PPSL kali ini bakal berganding bahu membantu universiti menguruskan pelajar baharu dan ibu bapa agar proses pendaftaran di USM berjalan dengan teratur dan lancar.
Semangat dan ketersediaan PPSL pada kemasukan pelajar baharu sidang akademik kali ini merupakan simbolik kepada seruan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang mengharapkan komitmen penuh oleh PPSL agar mereka mampu memberi impak positif kepada kemasukan pelajar baharu tahun ini.
Pada sesi taklimat bersama Naib Canselor, Asma memperingatkan PPSL agar sentiasa menjaga nama baik universiti, dan memastikan pelajar dan ahli keluarga meyakini kemampuan PPSL terutamanya dalam mengatasi apa jua isu dan masalah yang dihadapi.
"PPSL adalah barisan hadapan yang akan membimbing muka-muka baharu bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus, malah dapat belajar dengan baik dan bijak menghadapi sebarang masalah," kata Naib Canselor.
Tambah Asma, beliau amat yakin dengan persediaan PPSL selepas mereka pulang dari kursus selama empat hari di Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak bagi persediaan mental dan fizikal yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM.
"Sudah semestinya saya percaya PPSL dengan moto 'Dulu, Kini dan Selamanya' mampu mengorak langkah lebih jauh bagi melaksanakan amanah yang dipikul agar ibu bapa dan masyarakat luar yakin dengan perkhidmatan PPSL sepanjang dua hari pendaftaran pelajar baharu," katanya ketika menyampaikan taklimat khas buat pelajar PPSL di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, USM.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Mohamad Abdullah; Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr. Nazarudin Zainun; barisan Penggawa dan Penolong Penggawa serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Selain itu, Asma turut menegaskan PPSL seharusnya menjadi fasilitator yang baik dan berilmu terutamanya mengetahui sejarah USM dan maklumat-maklumat penting berkenaan universiti sekiranya ditanya.
"Saya yakin BHEPA telah membimbing, memberi latihan dan menyalurkan maklumat berguna kepada pelajar PPSL dan semestinya tersemat di hati anda semua bagi melakukan yang terbaik demi universiti," katanya lagi.
Sejumlah 4,615 orang pelajar baharu dijangka bakal mendaftarkan diri untuk sidang akademik 2018/2019 pada 1-2 September 2018 ini melibatkan 3,221 orang pelajar di Kampus Induk, 768 orang di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang dan 626 orang di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1905