AIDILADHA@USM DISAMBUT PENUH KESYUKURAN DALAM MERAIKAN ERTI PENGORBANAN
USM, PULAU PINANG, 22 Ogos 2018 – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dirai dalam suasana sederhana tetapi penuh dengan keimanan dan ketaqwaaan dalam keadaan aman dan damai.
Bermula dengan Solat Sunat Aidiladha dengan kehadiran lebih 1,500 jemaah warga USM, qariah, orang awam dan pelajar antarabangsa USM telah menambahkan lagi suasana kemeriahan dalam semangat kekeluargaan sambutan perayaan bagi tahun ini.
Khutbah Aidiladha bertajuk ‘Kembalikan Nilai Agama’ pula menekankan hak Allah SWT melebihi segala-galanya dan pengorbanan dalam kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.
Dalam pada itu, ucapan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang dibacakan oleh pemangku Pengarah Pusat Islam USM, Mohammad Shukri Osman sebelum solat aidiladha, beliau memohon agar semua warga USM menyanjung tinggi dan bersyukur dengan perayaan tahun ini dan jadikan teras syukur selalu sebagai pembakar semangat untuk terus maju.
“Kepada warga USM, syukurlah dengan apa yang dikurniakan dan terus menghayati roh pengorbanan demi Allah SWT dan juga USM walau dalam apa jua kekangan yang dihadapi, akan tetapi terus berkorban untuk menjadikan USM sebagai sebuah universiti pilihan,” katanya.
Tambahnya, perhebatkan nilai syukur dan pengorbanan untuk USM agar institusi terus maju ke hadapan dan beliau berpesan supaya berhati-hati di jalan raya sepanjang musim perayaan ini kepada semua.
Bagi ibadah qurban tahun ini di USM, sebanyak 17 ekor lembu dan 24 ekor kambing telah dikorbankan.
Suasana seperti ini boleh menjadi medan untuk mengukuhkan ukhwah di antara warga kampus dengan masyarakat setempat, di samping meraikan suasana muhibbah yang turut menjadi salah satu daya tarikan kepada para pelajar dari luar negara.
Hari Raya Aidiladha disambut umat Islam seluruh dunia bagi memperingati peristiwa kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. sebagai simbolik ketaatannya kepada Allah SWT. Namun Allah SWT telah menggantikan bahan sembelihannya dengan kambing biri-biri (kibas) dan mengarahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih kibas berkenaan dan juga petanda berakhirnya musim Haji ke Mekah.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1739