USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAJA MUDA PERLIS PERINGATKAN EMPAT ASPEK PENTING BIDANG KETENTERAAN

ftrytrdhy

USM, PULAU PINANG, 20 Ogos 2018 – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyampaikan titah di hadapan 1,788 orang pegawai kadet dengan mengingatkan mereka empat aspek penting dalam bidang ketenteraan iaitu Tahap Profesionalisme, Disiplin, Kerohanian dan Kewajipan. 

Baginda mengingatkan bahawa tahap profesionalisme adalah sifat terpenting bagi seorang pegawai tentera dan supaya terus kompeten dan bekerja kuat dengan penuh tekad untuk kekal berjaya, serta sentiasa berusaha untuk “Jadi Yang Terbaik.”

“Milikilah disiplin yang tinggi, berintegriti dan sentiasa jujur melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan amalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat menyebarkan budaya kepimpinan yang terbaik,” titah Tuanku yang ditemani Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.  

EAM 0182

Tambah Tuanku lagi, aspek ketiga yang perlu diberi perhatian ialah pengukuhan kerohanian bersama gabungan empat elemen iaitu akal, rohani, nafsu dan qalbu. 

“Keempat ialah kewajipan dan kepekaan kepada persekitaran khususnya corak ancaman masa kini dan di masa hadapan,” titah Tuanku.

Raja Muda Perlis menyampaikan titah tersebut di Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Malaysia kali ke-37 di Padang Kawad USM baru-baru ini.

EAM 0231

Seramai 1,788 orang pegawai kadet dari 16 detasmen mewakili 18 Universiti Awam dan satu universiti swasta iaitu Akademi Laut Malaysia ditauliahkan termasuk 33 orang pegawai kadet terbaik.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,178 adalah pegawai kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 293 kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 317 lagi kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah berjaya menamatkan latihan ketenteraan bagi tempoh tiga tahun di Universiti masing-masing.

EAM 0293

EAM 0324

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli Haji Zainal Abidin; Panglima-panglima Tentera Darat, Laut dan Udara; wakil Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Dato’ Hj. Abdul Halim Haji Hussain serta Naib Canselor USM yang juga Komandan PALAPES USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Jurufoto MPRC  

  • Created on .
  • Hits: 1359

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024