GISC – CYBERSEC 2012 BERJAYA JIMAT KOS
Pulau Pinang, 28 Disember 2012 – Seramai 60 orang pelajar Pusat Pengajian Sains Komputer telah menamatkan General Information Security Workshop (GISC) – CyberSec 2012 selama 4 minggu bermula 7 October 2012.
Bengkel ini dijayakan oleh Security and Forensic Research Group (SFRG USM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Aman Jantan. Beliau menguruskan bengkel ini secara teori dan praktikal sebagai salah satu inisiatif dan tanggungjawab untuk membantu membangunkan program dalam bidang keselamatan siber.
“Bengkel ini adalah kali kedua dijalankan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar. Kos sebenar untuk bengkel seperti ini adalah sebanyak RM18,000.00, namun dengan pengalaman saya mengikuti bengkel ini di luar, saya dapat kongsikan ilmu ini dengan para pelajar hanya dengan RM180.00 seorang. Walaupun para pelajar terpaksa membayar yuran itu melalui poket sendiri, saya berharap mereka menggunakan peluang ini sebaik mungkin,” kata Aman di majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada peserta GISC-CyberSec.
GISC-CyberSec mendedahkan kepada para pelajar tentang betapa pentingnya mengetahui cara untuk ‘hacking’ bagi tujuan yang baik serta ciri-ciri keselamatan lain dalam dunia siber. Saudara Nik Mohd Anas Nik Kamarudin mengambil peluang yang ada menunjukkan kepada semua cara bagaimana untuk ‘hacking’ kamera litar di sesebuah premis/pejabat bagi tujuan keselamatan.
Dalam majlis tersebut, seramai lima orang pelajar mendapat kelas Emas dalam peperiksaan teori dan praktikal iaitu mendapat markah 90 peratus ke atas manakala 7 orang mendapat Perak (60 peratus) dan 9 orang Gangsa (40 peratus). Hadiah telah disampaikan oleh Y. Bhg. Prof Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM disaksikan oleh Prof Ahamad Tajudin Khader, Prof Rosni Abdullah dan juga Prof Madya Dr Aman Jantan.
“Ilmu yang diperoleh adalah lebih penting daripada sijil. Ini adalah kerana dengan ilmu ini yang akan dapat memberikan faedah kepada orang lain. Anda adalah sebagai penjaga keselamatan alam siber pada masa hadapan,” ujar Omar dalam ucapan penutup beliau. – Teks:Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohamad Danial Shahri.
- Created on .
- Hits: 2569