USM UNGGUL DI KONVENSYEN KIK UA KE-14
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam kali ke-14 yang diwakili oleh Kumpulan Galaksi R3 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Konvensyen yang berlangsung selama 3 hari ini dihoskan oleh Universiti Malaya (UM).
Di samping itu juga, USM turut menjadi johan bagi Kategori Teknikal menerusi Kumpulan Galaksi R3 dan johan Kategori Pengurusan menerusi Kumpulan Protech.
Kumpulan Protech dari IPPT ini juga turut dianugerahkan Anugerah Inovasi Terbaik pada konvensyen berkenaan.
Menurut ketua kumpulan Galaksi R3, Syuhadah Sufian, beliau berasa bangga dan bersyukur dengan kejayaan ini.
“Sebagai ketua kumpulan, sudah pastinya saya berasa gembira dan bersyukur dengan hasil usaha bersama ahli kumpulan dan pihak-pihak terlibat kini membuahkan hasil. Kejayaan ini merupakan kejayaan bersama IPPT dan USM,” katanya selepas kumpulannya diumumkan sebagai johan.
“Kejayaan ini tidak berhenti setakat ini; kami akan meningkatkan usaha untuk terus mencipta banyak lagi kejayaan pada masa akan datang terutamanya di peringkat antarabangsa pada bulan Oktober nanti di Singapura,” tambahnya lagi.
Kumpulan Galaksi R3 menghasilkan produk inovasi mereka Pro-Gait17 yang merupakan alat untuk membantu pesakit yang mengalami masalah untuk berjalan. Menerusi penggunaan alat ini, masa rawatan berjaya dikurangkan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama dan tempoh pemulihan menjadi lebih cepat.
Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah ini telah disempurnakan oleh Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hj. Hashim, Naib Canselor Universiti Malaya di Dewan Tunku Cancelor.
Turut meraikan kejayaan mereka ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.
Ringkasan keputusan KONVENSYEN KIK UA KE-14:
Anugerah Fasilitator Terbaik
Teknikal: GALAKSI R3 (USM)
Anugerah Inovasi Terbaik
Pengurusan: PROTECH (USM)
Kategori Pengurusan
[Wang tunai, Sijil Penarafan & Piala]
Johan: PROTECH (USM)
Kategori Teknikal
[Wang tunai, Sijil Penarafan & Piala]
Johan: GALAKSI R3 (USM)
Anugerah Utama
Johan Keseluruhan: GALAKSI R3 (USM)
Teks: Mohd Faisal Jamaludin
- Created on .
- Hits: 1300