KETUA POLIS NEGARA TAULIAHKAN 58 PELATIH KOR SUKSIS USM
TANJUNG MALIM, 12 Ogos 2018 – Seramai 58 orang pelatih Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) menamatkan latihan tahun ini dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam Malaysia Kali ke-14 2018 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Daripada 58 pelatih Kor Suksis USM itu, 36 terdiri daripada pelatih wanita dan 22 terdiri daripada pelatih lelaki.
Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Fuzi Harun yang menyaksikan seramai 1,285 pelatih dari 19 buah Universiti Awam telah ditauliahkan dan menerima sijil masing-masing sebagai Inspektor Sukarelawan Polis.
Dalam ucapannya, Fuzi berharap pelatih-pelatih ini yang telah menamatkan latihan menjadi graduan yang cemerlang serta memiliki pengetahuan undang-undang, berdisiplin tinggi dan berketerampilan untuk menjadi generasi yang akan memimpin negara di masa akan datang.
“Saya yakin dan percaya ahli Kor Suksis UA akan menjadi pemangkin ke arah mewujudkan sebuah negara Malaysia yang aman dan selamat serta membantu PDRM,” tambahnya.
Turut serta ke Majlis ini adalah Komandan Kor Suksis USM yang baharu dilantik yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi USM, K/S ACP Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; SUPT/KS Dr. Nazarudin Zainun; DSP/KS Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah; dan ASP/KS Zulkifli Che Hussin.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2006, seramai 8,000 orang pelatih telah ditauliahkan menerusi Kor Suksis ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1853