KIK 2018: NC SERU TRANSFORMASI SEPENUHNYA KUALITI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN USM
PULAU PINANG, 7 Ogos 2018 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyeru staf Universiti Sains Malaysia (USM) agar sentiasa berani untuk bertindak mentransformasi sepenuhnya inovasi dan kreativiti penyampaian perkhidmatan agar lebih berkualiti dan dinamik dari sedia ada.
Katanya, semua peringkat staf di universiti wajar menunjukkan komitmen yang terbaik dalam penyampaian kualiti perkhidmatan melalui inovasi dan kreativiti untuk mentransformasi kepada yang lebih baik daripada amalan perkhidmatan yang digunapakai sekarang.
“Kemajuan teknologi yang ada sekarang ini ditambah pula era ‘machine technology’, ‘Internet of Things (IoT)’, ‘Blockchain’ dan sebagainya, sepatutnya menjadi lonjakan transformasi perkhidmatan di USM demi menggapai kecemerlangan USM pada tahap yang disasarkan,” katanya ketika hadir merasmikan majlis penutup Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) 2018 di Dewan Budaya, USM.
Tambah Asma, para kepimpinan universiti harus bijak menggunakan kepakaran melalui kepelbagaian teknologi yang ada supaya mampu menginovasikan cara kerja agar tampak lebih proaktif penyampaian perkhidmatan yang diperlukan pelanggan.
“Ketua jabatan dan pegawai pentadbiran bukan sahaja perlu memastikan apa yang diharapkan universiti dapat dicapai sepenuhnya malah harapan saya lebih dari itu, iaitu menunjukkan komitmen inovasi terbaik bagi meningkatkan kualiti kerja secara keseluruhan dari peringkat atasan sehinggalah peringkat pelaksana,” katanya lagi.
Beliau turut berharap dengan adanya konvensyen KIK seperti ini, ia dapat menghasilkan sesuatu implikasi yang lebih besar untuk USM agar semua lapisan staf mampu melakukan perubahan secepat mungkin bagi melonjak kualiti idea, kemahiran dan kreativiti dalam membantu universiti ke arah pencapaian transformasi perkhidmatan yang dinamik.
Turut hadir adalah Pendaftar USM, Dr. Hj. Musa Ali; Ketua Pustakawan Perpustakaan Hamzah Sendut USM, Engku Razifah Engku Chik; Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Dr. A.s. Hardy Shafii; Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid dan pegawai-pegawai utama universiti.
Pada majlis yang sama, Dr. Musa Ali pada ucapannya turut berharap semua peserta menjadikan konvenseyen ini sebagai satu medan perkongsian idea yang inovatif dan akhirnya akan diaplikasikan dalam konteks pembudayaan tugasan seharian di jabatan masing-masing.
"Besar harapan saya agar budaya kerja yang cemerlang dan peningkatan penyampaian perkhidmatan menjadi aspirasi kepada semua warga staf USM dalam pemacuan kegemilangan universiti"
Pada Konvensyen kali ini, sejumlah 7 kumpulan dari ketiga-tiga kampus bersaing menyampaikan idea-idea inovatif bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui kepakaran yang dimiliki dalam dua kategori iaitu Pengurusan dan Teknikal.
Kategori Pengurusan dimenangi oleh kumpulan C-NOVA dari Pusat Sejahtera (Kesihatan/Pergigian) dan Pusat Pengetahuan dan Komunikasi Teknologi (PPKT) Kampus Induk USM dengan projek bertajuk ‘Masa menunggu yang lama untuk berjumpa Doktor’, manakala kategori Teknikal dirangkul oleh kumpulan Beyond Rehab dari Unit Perubatan Pemulihan, Hospital USM (HUSM), Kampus Kesihatan USM dengan projek bertajuk ‘Alat bantuan untuk posisikan tulang belakang kurang efisien.’
Kedua-dua kumpulan membawa pulang wang bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan. Kumpulan Beyond Rehab juga merangkul kategori Poster Terbaik dengan membawa pulang RM200 dan sijil, manakala kumpulan FAST dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT USM) memenangi kategori Persembahan Terbaik bernilai RM500 dan sijil.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1720