USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KEMUKA KE KPT: PERTIMBANG YURAN PELAJAR PALESTIN

palestin1

GEORGE TOWN, 26 Dis. 2012 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung permohonan Palestin untuk mendapatkan kadar yuran pengajian yang sama dengan rakyat tempatan.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, permohonan yang disampaikan oleh Duta Palestin di Malaysia, Abdelaziz Abughoush itu diharap akan dipertimbangkan untuk meringankan beban kewangan pelajar Palestin di negara ini.

Katanya, ia berikutan kekangan yang dihadapi oleh para pelajar di negara itu dalam menguruskan hal ehwal kewangan memandangkan pergolakan yang sedang melanda negara itu ketika ini.

``Perkara ini perlu dipertimbangakan di peringkat kementerian dan kita akan cuba membantu seadanya. Yuran pengajian yang dikenakan kepada mereka (pelajar Palestin) memang tidak sama dengan rakyat tempatan dan perkara ini akan dikemukakan kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan dan diharap akan mendapat pertimbangan.

``Ia mungkin ia boleh dilaksanakan untuk tempoh beberapa tahun sahaja, dapatlah ringankan sedikit bebanan kewangan pelajar Palestin ini," katanya kepada pemberita ketika mengulas permohonan yang dikemukakan oleh Duta Palestin di Malaysia Abdelaziz Abughoush di sini semalam.

Abdelaziz mengemukakan permohonan itu dalam ucapannya pada majlis penyampaikan vaucer buku bernilai RM200 kepada 70 orang pelajar Palestin yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai peringkat di USM.

palestin2

Omar berkata para pelajar boleh menggunakan vaucer buku itu di koperasi USM dan berharap usaha USM ini akan menjadi contoh kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam usaha membantu meringankan beban pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di negara ini.

``Ini adalah antara inisiatif USM dalam membantu meringankan beban rakyat Palestin.  Walaupun jumlahnya tidak begitu besar namun ia diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka,.’’ Ujar beliau.

Omar turut berkata, setakat ini USM telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM700,000 untuk Tabung Pendidikan Palestin sejak dilancarkan sebulan yang lepas, semua sumbangan diperolehi daripada pelbagai program yang diatur oleh pelajar USM, sumbangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan potongan daripada gaji kaki tangan USM.

Salah seorang pelajar Palestin yang ditemui pada majlis itu berkata, Basheer Ahmed berkata, beliau amat terharu dengan sokongan rakyat di negara ini khususnya warga kampus USM.

``Saya amat berterima kasih kepada Naib Canselor dan warga kampus kerana tidak henti-henti menyalurkan bantuan kepada kami. Saya terharu dengan apa yang diterima dan bersyukur kerana ramai yang prihatin dengan nasib kami,’’ ujarnya.

Selain beliau, Bouyamin Omer dari Kampus Kejuruteraan pula berkata, beliau berharap inisiatif yang diambil USM dapat dicontohi oleh pihak lain kerana ia sangat membantu para pelajar yang dihimpit masalah kewangan.

``Saya ke USM bersama suami dan anak-anak. Memang dalam keadaan sekarang kami agak dihimpit masalah kewangan dan bantuan yang diterima sekurang-kurangnya dapat memabntu meringankan beban yang ada,’’ ujar beliau.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 2489

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024