250 ATLET USM NEKAD REBUT KEJUARAAN SUKUM KE-43
PULAU PINANG, 6 Ogos 2018 – Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) buat kali ke-43 bakal membuka tirai dengan penyertaan terbesar kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) pada kejohanan kali ini berjumlah 250 orang staf bagi merebut kejuaraan yang dipertandingkan.
Sukan berprestij antara universiti ini bakal berlangsung pada 10 sehingga 18 Ogos 2018 di Universiti Malaysia Pahang (UMP), memperlihatkan semangat juang yang tinggi staf-staf USM apabila menyertai hampir keseluruhan acara dengan 16 daripada 17 acara yang dipertandingkan.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, beliau amat mengharapkan kontinjen USM mempunyai semangat juang tinggi, bersatu dan bertarung sebaik mungkin demi menjulang nama USM.
"Saya amat berharap kontinjen USM mampu mencapai sasaran kali ini dengan membawa pulang 20 pingat emas berbanding pada kejohanan lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan memperoleh 15 emas,” katanya.
Tambah beliau lagi, beliau yakin dengan kemampuan staf-staf yang telah terpilih ini bagi menggalas tanggungjawab membawa nama USM ke puncak kejuaraan kejohanan secara keseluruhan.
“Saya mahu melihat atlet-atlet USM tidak pulang awal, malah mampu berjuang hingga ke peringkat akhir kejohanan agar nama USM terpahat sebagai juara di antara universiti yang bertanding di penghujung kejohanan nanti,” katanya ketika hadir di majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKUM 2018 kali ke-43 hari ini.
Katanya lagi, atlet-atlet perlu berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, malah ikhlas memupuk semangat cintakan universiti dengan menyumbangkan pungutan pingat kepada kontinjen.
Pada masa yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan watikah kepada Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKUM ke-43.
Yang turut hadir adalah Pendaftar USM, Dr. Musa Ali selaku Pengerusi SUKUM 2018; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Hj. Muhamad Mohd Hanif; Ketua Pustakawan USM, Engku Razifah Engku Chik serta para pegawai utama universiti.
Pada kejohanan SUKUM 2017 ke-42 yang lalu, USM berjaya berada di kedudukan kedua dari keseluruhan universiti bertanding apabila berjaya menggondol 15 emas, 16 perak dan 15 gangsa.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1145