USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘MENELUSURI KARYA SENI NORHAIZA’ PERJUANG SENI UKIRAN TRADISIONAL MELAYU

DSC 9589

PULAU PINANG, 1 Ogos 2018 – Seni halus ukiran tradisional Melayu ‘Menelusuri Karya Seni Norhaiza’ yang dibawa khas dari Terengganu ke Universiti Sains Malaysia (USM) amat memberi aspirasi buat universiti dalam menyampaikan mesej kepada generasi muda supaya mengekal dan memperjuangkan seni budaya Melayu yang semakin kian dilupakan.

Lebih 70 hasil karya ukiran Norhaiza Noordin dibawa ke Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM untuk dipamerkan sehingga 31 Ogos 2018 cukup memberi pemahaman agar khazanah berharga ini perlu diberi perhatian khusus terutamanya kepada pendidik agar dapat menyampaikan ilmu ini sewajarnya kepada generasi muda.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, karya-karya ukiran sebegini perlu diberi publisiti dan pendedahan secukupnya kepada generasi kini agar mereka mampu menjadi pelapis menguasai seni ukir seterusnya memartabatkannya ke peringkat lebih tinggi.

muzium11

“Salah satu tujuan Balai Seni Negara bekerjasama dengan USM membawa karyawan tersohor negara, Norhaiza Noordin ke USM bukanlah semata-mata untuk dipamerkan hasil kerja beliau, malah hasrat kita amatlah tinggi iaitu mahukan seni ini dimartabatkan melalui sumber yang tepat dan secara sistematik,” katanya.

“Saya dimaklumkan Sekretariat Kearifan Tempatan USM sangat aktif dalam memperjuangkan seni, adat dan kebudayaan tanah air, atas sebab itu kita bawakan saudara Norhaiza Noordin ke USM agar dapat kita jalinkan kolaborasi strategik bagi bersama-sama menjalankan program atau aktiviti berkaitan pada masa akan datang,” katanya ketika hadir merasmikan pameran “Menelusuri Karya Seni Norhaiza” di sini hari ini.

DSC 9554

Tambah beliau lagi, dengan kepakaran Norhaiza Noordin cukup berpengalaman luas sebagai seorang pereka motif dan seni Melayu yang pernah dinobat sebagai Adi Guru (Seni Ukir Halus) oleh Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, ia dapat membantu USM ke arah menjana program dan aktiviti kearifan tempatan demi memartabatkan aliran seni ukir tradisional di negara ini.

Yang turut hadir adalah Ombudsman USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar mewakili Naib Canselor USM; Norhaizan Noordin; Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan.

DSC 9580

Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan sendiri hasil seni ukiran kayu tradisional Melayu oleh Norhaiza Noordin yang dipamerkan sepanjang bulan ini untuk tatapan umum di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 2400

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024