NC KONGSI PERANCANGAN 2013 DENGAN PELAJAR
PULAU PINANG, 19 Dis. 2012 – Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman menyeru para pelajar untuk memberikan pandangan dan bantuan dalam menjayakan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) bagi tahun 2013.
Beliau berkata demikian dalam sesi sembang santai Teh Tarik kali ke-2 bersama pegawai tertinggi universiti di Dataran Usahawan Siswa USM, Desasiswa Tekun, di sini baru-baru ini.
Selain itu, Omar juga menggariskan beberapa perancangan universiti untuk panduan bersama iaitu majlis perutusan Naib Canselor yang akan diadakan pada 10 Januari 2012, penyediaan rangka kerja untuk APEX bagi fasa kedua yang akan bermula pada tahun 2014, pemasangan skrin LED di hadapan stadium untuk penjanaan kewangan serta pengukuhan akademik pelajar melalui penggunaan e-learning.
Katanya, program kali kedua anjuran Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) ini memberi peluang kepada para pelajar untuk beramah mesra dan berinteraksi secara terus dengan pengurusan tertinggi universiti, desasiswa dan juga unit-unit yang menyediakan perkhidmatan pelajar seperti Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Pusat Sukan dan Rekreasi serta Pusat Sejahtera.
“Para pelajar harus menjadi releven dan tidak berada di zon yang selesa dan mesti tahu bagaimana untuk mendapatkan sumbangan dan membelanjakannya dengan lebih lestari. Tidak hanya mengharapkan bantuan dan peruntukan daripada universiti,” jelas beliau apabila ditanya mengenai agihan peruntukan untuk aktiviti pelajar.
Program 3 hari bermula 18-20 Disember ini diadakan di Dataran Usahawan Siswa yang dibina bagi melatih dan menggalakkan program keusahawan kepada pelajar.
Terdapat lima kiosk yang disewakan kepada para pelajar yang berminat dengan kadar sewa yang berpatutan iaitu sebanyak RM60/sebulan. Kiosk ini yang beroperasi bermula jam 5.00 petang sehingga 11.00 malam menyediakan pelbagai makanan untuk dinikmati seperti burger panda, steamboat, cheesy wedges serta minuman dan ais krim.
Bersama-sama beliau pada sesi tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (TNC), Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, dan TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat Prof. Dato’ See Ching Mey,. Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Yong Check Yoon.
- Created on .
- Hits: 2753