TPM UCAP TAHNIAH KEPADA DR. SITI KHAYRIYYAH
PULAU PINANG, 25 Julai 2018 – Timbalan Perdana Menteri (TPM) Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini secara peribadi mengucapkan tahniah kepada pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah yang dinobatkan sebagai ‘Komunikator Sains Terbaik Dunia’ dalam pertandingan FameLab International 2018 di The Arena, Cheltenham, United Kingdom baru-baru ini.
Wan Azizah berkata demikian ketika sesi kunjungan hormat Siti Khayriyyah bersama TPM dan hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Dr. Rose Lena Lazemi.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan beliau yang telah menunjukkan keupayaan rakyat Malaysia di peringkat dunia,” katanya.
“Beliau menunjukkan kualiti rakyat Malaysia, terutamanya wanita, mampu bersaing di persada antarabangsa dan berjaya mengalahkan peserta dari seluruh dunia,” tambah Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM itu berjaya menawan hati panel juri dan memukau beratus-ratus penonton di The Arena, melalui pembentangan bertajuk 'To Find a Hidden Killer' (Mencari Pembunuh Tersembunyi) berkenaan penggunaan pasangan antibodi-antigen untuk diagnosis penyakit Tuberculosis (tibi) atau batuk kering.
Dalam pusingan akhir, Siti Khayriyyah, 33, menewaskan 11 finalis lain dari pelbagai negara termasuk Mesir, Poland, Kazakhstan, United Kingdom, Afrika Selatan, Greece dan Cyprus.
Dalam majlis yang sama, Siti Khayriyyah berpeluang membentangkan perancangan masa depan beliau dalam meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang penyelidikan dan sains.
“Satu kajian oleh pihak UNESCO membuktikan bahawa Malaysia ialah peneraju dalam memberikan galakan kepada golongan wanita menceburi bidang sains sama ada dalam perniagaan, pendidikan mahupun sektor awam,” kata Siti Khayriyyah.
Ibu kepada dua anak kecil itu sebelum ini menjuarai saingan FameLab peringkat kebangsaan pada awal bulan Mei setelah menewaskan sembilan saintis muda tempatan, sekaligus melayakkan beliau mewakili Malaysia di saingan peringkat akhir/antarabangsa.
FameLab International adalah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami oleh khalayak dalam tempoh tiga minit. Setiap persembahan dinilai berdasarkan kandungan, kejelasan dan karisma penyampai.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1532