USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANTARA PENCABAR HEBAT DI KEJOHANAN MASUM 2018 FASA 1

36978822 1841547055899987 6332383391903645696 n

PULAU PINANG, 16 Julai 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) menghantar kontinjen seramai 86 atlet termasuk dua pegawai pengiring ke Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia 2018 (MASUM) Fasa 1 yang berlangsung pada 15-21 Julai 2018 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Pengkalan Chepa dan beberapa lokasi di sekitar Kelantan.

Sebanyak tujuh acara sukan dalam dewan (indoor sports) yang dipertandingkan di MASUM 2018 Fasa 1 ini, melibatkan hampir 1,200 atlet dari 20 Universiti Awam (UA) dari seluruh negara.

Namun warga sukan USM hanya mengambil bahagian dalam lima acara sukan, iaitu bola baling (lelaki dan wanita), bola jaring (lelaki dan wanita), bola keranjang (lelaki dan wanita), catur (lelaki), dan taekwando; USM tidak mengambil bahagian dalam acara sepak takraw dan pencak silat.

Manakala di MASUM 2018 Fasa 2 yang akan berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur pada 29 Julai – 5 Ogos 2018, yang membabitkan tujuh acara sukan luar dewan (outdoor sports), USM akan menghantar wakil atlet untuk mengambil bahagian dalam lima acara sukan, iaitu hoki (lelaki dan wanita), bola tampar (lelaki dan wanita), lawn bowls (lelaki dan wanita), tenpin bowling (lelaki dan wanita) dan karate (lelaki dan wanita); USM tidak mengambil bahagian dalam acara sukan ragbi dan menembak.

Menurut sumber dari Pusat Sukan dan Rekreasi USM, kontinjen USM merupakan antara pencabar hebat bagi universiti-universiti awam yang lain untuk Kejohanan MASUM pada kali ini.

Hal ini kerana atlet-atlet USM telah menunjukkan prestasi yang baik di temasya-temasya sukan yang telah berlangsung pada tahun sebelumnya, dan juga melalui persiapan dan sesi latihan yang dijalankan sebelum ini.

Penyertaan USM juga dilihat sebagai mampu meningkatkan lagi imej dan reputasi USM sebagai UA yang cemerlang dalam aspek pembangunan sukan, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Karnival Sukan MASUM 2018 adalah platform terbaik bagi acara sukan pelajar di UA yang menjadi tumpuan untuk beberapa acara sukan terpilih untuk dipertandingkan bagi menyediakan atlet yang cemerlang serta berpotensi untuk bertanding di kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Teks: Puteri Najwa Othman (Pelajar praktikal MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 1489

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024