USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIMAKER 2018: TAWAR HADIAH MELEBIHI RM300,000

DSC 9131

PULAU PINANG, 21 Julai 2018 – Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama dengan empat Universiti Awam (UA) menganjurkan UNIMAKER 2018 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM300,000 untuk pemenang pertandingan ini.

Pertandingan tersebut diadakan secara dua peringkat iaitu Peringkat Zon meliputi Zon Utara, Timur, Selatan dan Tengah serta Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung November ini di Kuala Lumpur. 

UNIMAKER 2018 bertujuan untuk mengetengahkan hasil kerja inovasi pereka dan pelajar dari UA dan juga Universiti Swasta (US) bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Hos untuk zon-zon pertandingan adalah Universiti Sains Malaysia (USM-Zon Utara), Universiti Teknologi Malaysia (UTM-Selatan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA-Timur) dan juga Universiti Malaya (UM-Tengah).

Lima pemenang di setiap zon bakal membawa pulang hadiah bernilai 150,000 dan bakal berentap di peringkat Kebangsaan bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM80,000 bagi Juara, RM50,000 Naib Juara dan RM20,000 untuk tempat Ketiga. 

Bagi tujuan itu, para peserta akan diberikan pendedahan melalui BootCamp bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai pertandingan yang bakal dibimbing oleh pakar daripada Lingkaran Empat atau Quadruple Helix iaitu pihak Universiti, Kerajaan, Industri dan Masyarakat. 

Menurut Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6) USM yang juga merangkap Ketua Projek Makers@USM, Profesor Dr. Rosni Abdullah@ Mustafa pertandingan ini bakal melatih dan menggalakkan para pelajar untuk berfikir, berinovasi serta membangunkan penyelesaian inovatif bagi mendepani Revolusi Industri 4.0.

“UNIMAKER 2018 yang pertama kali dianjurkan akan menjadi langkah pertama dalam memupuk minat pelajar terhadap ideologi Makers untuk merekabentuk, menyelesaikan permasalahan, menggodam, membina, mencabar, menggunakan kemahiran inovatif serta pemikiran kreatif dalam mempamerkan idea dan projek yang akan dilaksanakan,” tambah Rosni ketika merasmikan Bootcamp bagi Zon Utara hari ini.

Bootcamp Zon Utara selama 2 hari (21-22 Julai) dihadiri lebih 200 orang pelajar yang telah mendaftar untuk pertandingan di peringkat zon utara meliputi pelajar dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1404

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024