USM DIIKTIRAF UNIVERSITI AWAM BEBAS DENGGI 2018
PULAU PINANG, 11 Julai 2018 – Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membanteras ancaman wabak denggi di dalam kampus berjaya membuahkan hasil apabila dipilih sebagai Universiti Awam Bebas Denggi 2018.
Usaha USM telah mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke kampus bagi menjuri dan menilai tindakan yang diambil bagi membanteras ancaman wabak denggi termasuk kawasan-kawasan potensi utama pembiakan nyamuk aedes.
Penjurian telah diadakan pada 2 April – 19 April 2018 lalu ke semua 20 Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang turut melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, IM4U dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Menurut Pengarah Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Normala Abdul Wahid, pertandingan Anugerah Universiti Awam Bebas Denggi bertujuan untuk memastikan kawasan IPTA adalah bebas denggi serta memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar IPTA tentang pencegahan denggi.
“Pertandingan ini juga dilaksanakan bagi menggalakkan semua IPTA menghasilkan inovasi serta kreativiti dalam pencegahan denggi serta melestarikan usaha tersebut sepanjang masa bagi mengelakkan masalah wabak denggi,” katanya.
Tambah Dr. Normala, pengiktirafan ini merupakan titik tolak buat Pusat Sejahtera USM bagi menerajui usaha sebaik mungkin bagi membendung wabak tersebut seterusnya melindungi staf dan pelajar di dalam kampus.
“Saya amat bersyukur kerana USM diberi pengiktirafan tersebut dan kita akan memastikan apa yang diharapkan oleh Kementerian akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin bagi mencapai sasaran membanteras wabak tersebut,” katanya lagi.
Dr. Normala turut hadir menerima sijil dan hadiah saguhati bernilai RM1,000.00 yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Dzulkefly Ahmad sempena majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat ASEAN 2018 baru-baru ini di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Sumber asal: Dr. Normala Abdul Wahid (Pusat Sejahtera USM)
- Created on .
- Hits: 1893