PERAK INTAI KOLABORASI DENGAN USM WUJUDKAN BEKALAN ELEKTRIK UNTUK MASYARAKAT ORANG ASLI
SUNGAI SIPUT, 22 Disember 2012 - Kerajaan negeri Perak berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mewujudkan bekalan elektrik bagi kemudahan kira-kira 130 masyarakat orang asli di Kampung Langkor, Sungai Siput, Perak.
Exco kerajaan negeri Perak, Dato' Ramly Zahari berkata, kerjasama itu dilihat sebagai satu lagi langkah proaktif dalam melestarikan kehidupan masyarakat terkebawah, khususnya dalam mendapatkan kemudahan asas.
Katanya, perkara itu boleh direalisasikan jika melihat kepada kejayaan projek pembekalan air bersih kepada masyarakat orang asli di situ yang dibangunkan dengan menggunakan kepakaran USM dengan libatsama beberapa pihak tertentu.
"Kita berupaya untuk memperkasakan masyarakat terkebawah melalui kolaborasi seumpama ini, ditambah pula dengan menggunakan kepakaran dan teknologi tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dan hadir mewakili Menteri Besar Perak, Dato' Seri Zambry Abdul Kadir ke majlis penyerahan projek bekalan air bersih kepada penduduk orang asli Kampung Langkor di sini hari ini.
Usaha ini adalah antara inisiatif yang diambil oleh pakar-pakar bidang kejuruteraan USM bagi membantu orang asli Kampung Langkor mendapat saluran air yang bersih mengalir dari pili air di rumah-rumah mereka. Teknologi dari menara gading ke komuniti ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerisauan masyarakat orang asli untuk mendapatkan akses air dengan lebih mudah, yang mana ia adalah hak asas untuk semua masyarakat.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. See Ching Mey, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Aziz Tajuddin dan pegawai-pegawai utama yang lain turut hadir dalam majlis tersebut yang juga diraikan oleh masyarakat orang asli di situ. - Teks: MARZIANA MOHAMED ALIAS
- Created on .
- Hits: 2563