USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-UKM HASILKAN MODUL SISTEM GABUNGAN KES KESIHATAN PERGIGIAN PERTAMA DI DUNIA

CHERAS, KUALA LUMPUR, 5 Julai 2018 – Seiring dengan usaha untuk menggalakkan kerjasama antara penyelidik-penyelidik dari pelbagai institusi tempatan, penyelidik daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan penyelidik daripada Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) telah mengorak langkah untuk menggabungkan kepakaran masing-masing dalam melaksanakan satu projek penyelidikan berimpak tinggi bagi memantapkan perkhidmatan untuk penjagaan kesihatan pergigian yang dikenali sebagai Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian (Oral Health Casemix System).

Menurut Ketua Projek, Dr. Roseminah Mohamad, hanya Hospital USM dan HCTM yang melaksanakan penggunaan sistem gabungan kes ini dan yang pertama di dunia melibatkan perawatan dalam bidang pergigian.

“Konsep sistem ini adalah untuk memudahkan proses pendiagnosan pesakit yang umum mengetahui ianya kompleks, dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu kategori diagnosis yang sama serta secara klinikal, penggunaan sumber yang sama dalam rawatan yang diberikan.

"Pembangunan sistem ini yang mengambil masa selama lima tahun melibatkan penggunaan data pesakit-pesakit pergigian daripada Hospital USM dan HCTM dianalisis melalui penggunaan perisian sistem casemix MY-DRG®️-OH," katanya.

Jelasnya lagi, setiap pesakit pergigian akan dikategorikan secara eksklusif untuk setiap episod rawatan yang diberikan dan melalui pengelompokan ini, tarif rawatan pergigian untuk setiap pesakit di Hospital USM dan HCTM dapat ditentukan dengan mudah.

"Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh orang awam dalam mendapatkan rawatan kesihatan pergigian yang lebih baik tetapi juga mampu menjadi tanda aras kualiti dan kuantiti penggunaan sumber dan kos dalam rawatan tersebut kepada pihak pengurusan," ujarnya lagi.

Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan YB Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dalam ucapannya, Dzulkefly berkata, kesejahteraan kesihatan wajar diberikan perhatian serta menjadi agenda kesejahteraan sosial negara yang utama.

Beliau juga berharap agar pihak pengurusan klinik dan hospital dapat menggunakan sistem ini untuk menilai serta menguruskan sumber kewangan hospital dengan lebih baik untuk mencapai objektif perkhidmatan kesihatan yang efisien, berkesan serta berkualiti.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM Profesor Dato' Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa; Presiden Malaysian Health Economic Association, Profesor Dato' Dr. Syed Mohd Al-Junid; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Kampus Kesihatan mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Adam Hussein serta pegawai-pegawai kanan HCTM.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Nareeman Shah Mohamad

  • Created on .
  • Hits: 1177

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024