BICARA ‘INTISARI MALAM 1000 CINTA LAILATUL QADAR’ SEBAGAI MENGAKHIRI PROGRAM MEDLEY OF RAMADHAN USM
USM, PULAU PINANG, 7 Jun 2018 – Program ‘Medley of Ramadhan’ yang dijalankan oleh Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) telah melabuhkan tirainya dengan satu sesi bicara menampilkan penceramah dan pendakwah bebas terkenal, Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias.
Program Medley of Ramadhan ini telah dijalankan di dalam enam sesi. Keenam-enamnya mengetengahkan personaliti USM di samping ikon terkenal masa kini, dengan setiap seorang membicarakan isu-isu berkaitan Ramadhan serta fadhilatnya secara langsung mahupun tidak langsung.
Ustaz Kazim telah menyentuh tentang keistimewaan Lailatul Qadar, sebagai satu malam yang dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk meraih pahala dengan beribadat. Pahala yang diberikan kepada umat Islam dari ibadat ikhlas mereka pada waktu itu diibaratkan seperti mendapat pahala beribadat selama 1000 bulan, atau lebih dari 80 tahun.
Ini bersesuaian dengan jangka hayat sebahagian besar umat Islam pada waktu ini, yang rata-ratanya sukar untuk melebihi 80 tahun.
Ustaz Kazim menekankan betapa pentingnya umat Islam merebut peluang untuk memperolehi pahala dari Lailatul Qadar. Kesan dari memperolehi berkat Lailatul Qadar ini akan dapat dilihat pada tahap ketaqwaan individu tersebut, selepas dari berlalunya Lailatul Qadar.
NASA (Agensi Angkasalepas Amerika Syarikat) juga, menurut Ustaz Kazim, telah mendapati bahawa tiada sebarang ‘meteor’ yang jatuh ke Bumi sewaktu berlakunya Lailatul Qadar, berbanding dengan hampir 20 yang jatuh pada malam-malam lain.
Beliau seterusnya menerangkan bahawa Lailatul Qadar tidak dapat ditentukan dengan pasti bila ianya berlaku. Namun begitu, Rasullulah SAW pernah meriwayatkan, yang diberitahu oleh Aisyah RA, untuk mencari Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Imam Syafie pula pernah meriwayatkan, dari Rasullullah SAW, tentang kemungkinan berlakunya Lailatul Qadar di antara malam-malam ganjil dan malam akhir Ramadhan.
Dalam mencari Lailatul Qadar, amat perlu bagi umat Islam untuk bermujahadah, Ustaz Kazim seterusnya memberitahu. Ini amat penting dalam melawan nafsu yang akan sentiasa melalaikan dan cuba ‘menarik’ manusia dari melakukan ibadat.
Ustaz Kazim mengakhiri sesi bicara tersebut dengan berkongsi cara-cara bagaimana untuk mudah bangun beribadat di waktu malam dalam mencari Lailatul Qadar. Beliau menyarankan agar:
- Kurangkan melakukan dosa di siang hari, di antaranya dosa berkaitan ‘lidah’ (berkata-kata).
- Berdoa dan mohon supaya mudah terjaga untuk beribadat.
- Tidur awal.
- Mengingatkan diri sendiri bahawa tiada siapa yang tahu waktu ajalnya, dan ini kemungkinan peluang terakhir untuk beribadat di bulan Ramadhan.
Sebahagian besar ruang Dewan Budaya USM dipenuhi hadirin sewaktu program ini berlangsung. Hadirin terdiri dari ketua-ketua jabatan, warga staf dan pelajar USM, serta wakil-wakil dari agensi luar dan juga ahli qariah berhampiran.
Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias telah dianugerahkan Tokoh Keusahawanan Sosial oleh USM pada tahun 2015, bagi menghargai sumbangan besar beliau kepada masyarakat sebagai seorang penceramah, pendakwah bebas serta pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh, Perak.
Program Medley of Ramadhan ini adalah program berbentuk kerohanian yang dikelolakan oleh Jabatan Pendaftar USM, dan dikendalikan oleh Pusat Transformasi Insan dengan kerjasama Pusat Islam USM.
Program ini telah dijalankan di sepanjang bulan Ramadhan ini, bagi mencari keberkatan majlis ilmu di samping terus menyediakan peluang membentuk kompetensi generik dalam kalangan staf USM dan pihak lain yang terlibat.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 1233