NAIB CANSELOR USM LANCAR PUSAT KEMUDAHAN TRANSIT DI KAMPUS KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 6 Jun 2018 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail melancarkan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Transit dan Tadika Lestari sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Naib Canselor di Kampus Kejuruteraan, USM.
Program KAFA Transit dan Tadika Lestari ini adalah inisiatif Pusat Islam Kampus Kejuruteraan sebagai kemudahan kepada warganya untuk menjadi tempat persinggahan anak-anak untuk makan tengahari dan juga bersiap untuk ke sekolah di sesi petang.
Pusat Islam juga menyediakan pengangkutan untuk anak-anak kakitangan yang berdaftar dengan program ini ke pusat transit tersebut.
Pelancaran ini juga merupakan satu daripada cabang usaha dalam menggalakkan kakitangan untuk lebih menghargai waktu dan pada masa yang sama ianya akan memudahkan aktiviti seharian mereka tanpa menjejaskan kualiti kerja masing-masing.
Pelancaran tersebut diadakan bersempena Majlis Berbuka Puasa yang dihadiri lebih kurang 800 orang yang terdiri daripada pengurusan tertinggi universiti, pelajar serta staf dan komuniti sekitar Kampus.
Pada majlis yang sama, seramai 20 orang kelainan upaya pendengaran menerima sumbangan Baraka Ramadhan USM seperti tahun-tahun sebelumnya, hasil kerjasama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sumbangan turut disampaikan kepada 40 orang warga USM yang terdiri daripada mahasiswa serta staf yang layak.
Hadir bersama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan isteri; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan isteri serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein serta ketua-ketua jabatan USM.
Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1313