MENTERI BESAR NEGERI KEDAH LAWAT TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI BATU
SUNGAI PETANI, 8 Jun 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan Menteri Besar Negeri Kedah, Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir yang meluangkan masa mengadakan lawatan kerja ke tapak tamadun tertua di Asia Tenggara, Tapak Arkeologi Sungai Batu, Sungai Petani, Kedah.
Tapak berusia 2,600 tahun yang pertama kali diterokai oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM yang diketuai Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin ini menjadi tumpuan Menteri Besar Kedah bagi tujuan mengenalpasti pembangunan yang boleh diteliti dan ditambah baik untuk masa mendatang.
Beliau hadir bersama 5 orang ahli panel Penasihat Pembangunan Sungai Batu beserta 40 orang ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Kedah turut dibawa ke beberapa stesen penemuan tapak dan memperoleh penerangan terperinci dari Mokhtar sepanjang lawatan tersebut.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendedahkan keadaan sebenar tapak kepada 5 ahli panel penasihat yang diketuai oleh Datin Irene Gan, Datuk Kapten Mohamad Nawawi Awang, Dato' Ir. Dr. Gue See Sew, Dato' Wan Mohd Fadzmi Wan Osman dan Johan Sapiee.
Bercakap kepada Menteri Besar, Mokhtar berkata PPAG USM hingga kini masih menjalankan kerja-kerja ekskavasi dan berkemungkinan besar masih banyak kawasan sedang dalam proses untuk diterokai.
“Ahli-ahli arkeologi sedang mencari untuk menggali lebih banyak struktur bagi melengkapkan penemuan sedia ada, dan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah amat pihak kami alu-alukan bagi menyokong pembangunan penyelidikan di sini,” jelasnya.
Katanya lagi pelbagai manfaat telah diperolehi hasil penemuan tapak ini sejak dimulakan penyelidikan pada tahun 2007 dan titik tolak lebih jitu dapat dilakukan sekiranya mendapat sokongan penuh dari Menteri Besar.
“Selain pembangunan ekonomi masyarakat setempat di sini, pembangunan tapak sejarah ini mampu ke arah sumber pelancongan yang strategik bagi menarik minat pelawat terutamanya peminat arkeologi dari dalam dan luar negara, seterusnya mengajak generasi muda kini memahami erti sebenar keunikan sejarah Kedah Tua yang telah wujud lebih awal daripada kuil Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja, yang masing-masing dibina pada abad ke-9 dan ke-12.
Beliau juga turut memaklumkan kepada Menteri Besar dan 5 ahli panel penasihat bahawa Sungai Batu telah bersedia untuk dibangunkan sebagai satu produk arkeopelancongan bertaraf dunia.
Lawatan selama 2 jam ini turut dihadiri oleh Wakil Naib Canselor USM, Dr. Musa Ali; Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Tuan Syed Yusof Syed Kecik; Pengarah Jabatan Pembangunan USM, Arman Abdul Razak; serta wakil-wakil dan Pegawai Jabatan Warisan Negara, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Muzium Negara.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1488