USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JUADAH IFTAR MASJID AL-MALIK KHALID GAMIT 2,000 JEMAAH SETIAP HARI

33676315 1787711794623179 8124703296410615808 n

PULAU PINANG, 4 Jun 2018 – Dalca Pekat, Rendang Kedah, Kurma Daging Masak Hijau, Masak Lemak Cili Api Negeri Sembilan dan selera Mediterranean, Arab Mandi pun ada!

Itu antara tarikan menu juadah iftar di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) yang disediakan apabila Ramadhan menjelma dan seringkali dinantikan orang ramai dari dalam mahupun luar kampus.

Keunikan dan keistimewaan menu juadah dari selera utara ke selatan sehinggalah selera Timur Tengah membuatkan Masjid Al-Malik Khalid sentiasa menjadi perhatian hampir 2,000 jemaah hadir untuk berbuka di sini.

33677196 1787711784623180 7816757018915504128 n

Apatah lagi pelbagai program keagamaan yang disediakan oleh Pusat Islam USM di masjid membuatkan lebih ramai jemaah tidak mengira lelaki dan wanita dari dalam dan luar kampus mengambil peluang sebaiknya hadir untuk menyertai bagi meningkatkan suasana kemeriahan sepanjang bulan Ramadhan di sini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Pusat Islam USM, Dr. Mohd Zamrus Mohd Ali berkata Pusat Islam amat mengalu-alukan kedatangan warga kampus mahupun luar kampus bagi memeriahkan suasana sepanjang bulan mulia ini.

“Program tadarus, tazkirah di PTJ, edaran bubur lambuk kepada warga kampus, iftar dan terawih sepanjang ramadhan merupakan intipati program utama masjid dan diharapkan lebih ramai warga kampus hadir ke masjid merebut peluang menambah amal ibadat dengan baki beberapa hari sahaja lagi Ramadhan.”

34132858 2189426957764508 7278904015398633472 n

Beliau yang juga Ketua Bahagian Hidangan Jawatankuasa Ramadhan turut menyatakan kemeriahan Ramadhan kali ini amat ketara kerana boleh dikatakan hampir setiap hari, ramai pelajar yang datang berbuka puasa bersama memandangkan tarikh peperiksaan jatuh pada bulan puasa.

Tambah Mohd Zamrus lagi, dengan kehadiran pelajar-pelajar antarabangsa yang kebanyakannya dibawa oleh para pelajar Muslim USM untuk merasai suasana berbuka di masjid Al-Malik Khalid merupakan inisiatif terbaik dalam mengeratkan hubungan di antara pelbagai bangsa.

“Sambutan dari pelbagai bangsa, negara, pensyarah, staf serta pelajar menandakan wujud hubungan erat dan harmoni di kalangan mereka dan sudah menjadi budaya kita di USM,” jelasnya.Selain itu beliau juga amat berterima kasih kepada para sukarelawan yang terdiri dari staf dan pelajar yang sentiasa ikhlas membanting tulang bergotong-royong bagi menyiapkan juadah iftar bermula pagi sehingga waktu berbuka.

“Tahun ini penyertaan sukarelawan mencecah sehingga 70 orang dan melebihi dari jumlah itu sekiranya termasuk penyertaan penduduk qaryah sekitar masjid yang sentiasa memberikan komitmen terbaik sepanjang Ramadhan,” katanya.

34120966 2189426927764511 5315252874702225408 n

Persiapan menjelang Ramadhan biasanya dilakukan 2 hingga 3 bulan awal. Antaranya mengumpul dana Ramadhan, menghubungi kedutaan Arab Saudi yang menjadi penyumbang tetap tamar Saudi dan menghantar imam khas untuk terawih, mengadakan perjumpaan dan bengkel untuk para sukarelawan dan mesyuarat bersama para chef masakan.

Di akhir temubual, Mohd Zamrus berkata untuk mengekalkan tradisi gotong-royong dan kebersamaan di USM ini beliau mengharapkan semangat sukarelawan terutama dalam kalangan staf generasi muda yang dilihat masih kurang menceburi program-program sebegini.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa  

  • Created on .
  • Hits: 1722

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024