TERUSKAN MENYUMBANG KEPADA TABUNG RAMADHAN USM
PULAU PINANG, Mei 2018 - Ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak sangat dirindui oleh seluruh umat Islam yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
Bagi warga staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), ketibaan bulan yang mulia dan penuh barakah ini merupakan kesempatan yang terbaik untuk mengeratkan perpaduan ummah, menghulurkan sumbangan dan sedekah serta meningkatkan kualiti taqwa menerusi aktiviti kerohanian yang disusun sepanjang bulan ini oleh Pusat Islam dan Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 1439H USM.
Sejak diasaskan 35 tahun yang lalu, sumbangan dan tajaan berbuka puasa oleh warga kampus USM yang dermawan, menjadi nadi dan teras kejayaan penganjuran Majlis Berbuka Puasa di USM sehingga mendapat pengiktirafan dan pujian daripada pelbagai pihak.
Staf dan pelajar USM termasuk pelajar antarabangsa berbaris panjang di hadapan Masjid USM seawal jam 4.00 petang untuk mendapatkan bubur lambuk manakala juadah masakan timur tengah dan menu resepi Malaysia seawal jam 5.30 petang bagi berbuka puasa bersama secara beramai-ramai di perkarangan masjid, adalah suasana biasa yang dapat dilihat setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan.
Menurut Pengarah Pusat Islam USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 1439H peringkat USM, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya, setiap hari dianggarkan lebih 2,000 orang dalam kalangan warga kampus dan anak qaryah hadir untuk berbuka puasa di Masjid Al-Malik Khalid Pusat Islam USM.
“Untuk menampung bilangan yang sebegitu ramai, dianggarkan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM6,000 sehari.
“Malah jumlah ini dijangka akan terus meningkat saban tahun, dan sebagai usaha dan ikhtiar untuk meningkatkan lagi kutipan Tabung Ramadhan USM bagi menyediakan juadah berbuka puasa, Pusat Islam telah mewujudkan Sistem E-Tabung Ramadhan untuk memudahkan warga kampus dan individu untuk memberi sumbangan serta melicinkan lagi proses pengutipan pada pihak Pusat Islam,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Pusat Islam menyeru seluruh warga USM yang budiman dan dermawan untuk tampil menyumbang ke Tabung Ramadhan USM dengan melayari hyperlink E-Tabung Ramadhan USM di laman web rasmi USM http://www.usm.my/index.php/en/
Sumber teks: Pusat Islam USM/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1353