USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI ASEAN BEKERJASAMA UNTUK PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI

PULAU PINANG, 12 Dis.2012 – Wakil-wakil kerajaan dan universiti terkemuka Asean berhimpun bagi menjayakan majlis penandatanganan Cooperative Framework bagi Asean University Network/ Southeast Asia Engineering Education Development Network (AUN/SEED) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Penandatanganan rangka kerja tersebut menjadi penanda aras baru kolaborasi wilayah Asean yang mana kesemua universiti peneraju bagi setiap negara ahli bekerjasama dalam membangunkan sosio-ekonomi serantau dengan libatsama pihak industri yang akan membawa kepada pengukuhan komuniti Asean.

Antara output yang diperoleh melalui penganjuran pertemuan strategik itu termasuk usaha ke arah meningkatkan pembangunan modal insan khususnya pensyarah dan penyelidik bidang kejuruteraan, mengukuhkan program akademik peringkat siswazah dan membangunkan jaringan lebih kukuh di antara Asean dan Jepun.

Usaha itu dikukuhkan pula dengan strategi AUN/SEED–Net dalam menugaskan beberapa buah universiti untuk bertindak sebagai hos atau hub serantau dalam melatih pelajar serta kakitangan muda dari universiti lain yang kini menjadi model kepada jaringan akademik lain.

Rangka kerja tersebut dibangunkan bagi menjayakan operasi AUN/SEED untuk rangka kerja fasa ketiga bermula Mac 2013 dan seterusnya, dengan mengenalpasti usaha-usaha ke arah penstrukturan dan pelebaran kerjasama dalam rangkaian tersebut.

Dalam fasa ketiga juga, AUN/SEED akan disertai oleh tujuh ahli baru termasuk Universiti of Indonesia dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember dari Indonesia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia dari Malaysia, Mindanao State University dan Illigan Institute of Technology dari Filipina dan Kasetsart University dan Thammasat University dari Thailand.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) pada fasa pertama penubuhan AUN/SEED bertindak sebagai institusi yang menjadi hos kepada disiplin kejuruteraan bahan, sekaligus menjadi hub kepada penyelidikan kejuruteraan bahan.

Dengan rekod cemerlang yang dicapai USM pada dua fasa pertama, institusi ini sekali lagi diberi mandat untuk meneraju bidang baru berasingan yang juga dikenali sebagai Kejuruteraan Bahan dan Sumber Semulajadi.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman hadir pada pertemuan tersebut yang turut menjadi medan diskusi dalam menjayakan pelbagai rangka kerja AUN/SEED seperti penganjuran persidangan dan seminar secara berterusan, pengagihan geran penyelidikan, biasiswa kepada pelajar sarjana dan doktor falsafah dan sebagainya.

  • Created on .
  • Hits: 2301

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024