USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI ASEAN PERLU TERKEHADAPAN DALAM SAINS SUKAN

Vientiane, Laos 12 Disember – Integrasi ASEAN 2015 dan peranan sukan di universiti-universiti dalam pembangunan semangat ASEAN untuk faedah kehidupan lebih 600 juta penduduknya amat penting dan ketara sekali. Setelah 45 tahun berusaha, kini 10 buah Indonesia, Malaysia, Singapore, Thailand, Philippines, Brunei Darussalam, Vietnam, Cambodia, Lao PDR dan Myanmar bersepakat dan bersatu hati hati merealisasikan impian melaksanakan usaha bersama yang lebih bermakna.

Menurut Profesor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), oleh yang demikian universiti-universiti ASEAN perlu terkehadapan dalam menyediakan kemudahan latihan sains sukan bertaraf dunia.

“Hanya dengan cara ini ASEAN dapat meningkatkan pencapaian sukan pada tahap antarabangsa dengan lebih signifikan seperti mana yang diinginkan oleh rakyat dan masyarakat ASEAN seluruhnya,” kata Omar ketika membentangkan Ucap Utama yang bertajuk ‘ASEAN (2015) Integration – Youth, Sports and Preparing for the Future’ sempena The AUSC 1st Sports Science Conference, the 16th ASEAN University Games 2012 di sini pagi ini.

Menurut Omar, universiti-universiti ASEAN juga memperkukuhkan penyelidikan dalam 6 – 8 acara sukan yang berupaya menjulang kejayaan ASEAN di pentas antarabangsa.

“Keperluan keupayaan dalam bidang-bidang sukan yang khusus yang berkaitan dengan keperluan struktur fizikal tubuh badan, mental dan teknikal juara dunia perlu dikaji dan disesuaikan dengan atlet ASEAN,” kata Omar.

Menurutnya lagi, sosio budaya, persekitaran, kewangan dan dana serta faktor-faktor lain juga perlu diteliti kerana pencapaian sukan di arena antarabangsa memerlukan sumber yang banyak dan mencukupi termasuk kewangan yang tentunya dapat dibantu melalui proses pembangunan saintifik dalam memilih jumlah sukan yang ingin diketengahkan.

“Perkara ketiga ialah keperluan untuk melakukan perancangan yang berteraskan saintifik dan strategik dalam menentukan faktor kejayaan sukan di pentas dunia, seperti mana Australia yang telah mengenal struktur pengurusan yang berkualiti, program mengenal pasti bakat, struktur kejurulatihan, kemudahan, sains sukan dan perubatan sukan, rangkaian pengkomputeran dan maklumat, kebajikan, khidmat penasihatan kerjaya dan keperluan penyelidikan,” kata Omar.

Beliau turut menekankan tentang pentingnya peranan Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) dalam mencorakkan masa hadapan sukan di dalam kalangan universiti ASEAN.

“AUSC adalah satu-satunya organisasi yang berfokus kepada sukan dalam ASEAN yang harus melihat usaha yang dilakukan dengan serius dalam merangka visi dan sasarannya, objektif, program serta struktur pentadbiran dalam memperluaskan skopnya termasuk memberikan keutamaan kepada pembangunan penyelidikan akademik dan profesional yang berkaitan dengan pendidikan sukan, fizikal, kecergasan dan rekreasi atau apa yang dipanggil sebagai - ‘the art and science of human movement,” kata Omar. – Teks: MOHAMAD ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 2748

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024